Annapurna Base Camp (Bahagian 1)

Tidak boleh saya lupakan pengalaman saya mengharungi cabaran dalam mencapai hasrat untuk menjejakkan kaki ke Annapurna Base Camp, atau lebih terkenal dengan panggilan ABC di kalangan peminat-peminat aktiviti hiking. Walaupun telah 2 minggu berlalu, saya masih lagi merasai kerinduan untuk kembali ke ABC. Mudah-mudahan akan ada kesempatan untuk ke sini lagi untuk sekali lagi menghayati keindahan di sepanjang perjalanan dan mengharungi cabaran yang menguji ketahanan mental dan fizikal.

Annapurna merupakan wilayah pergunungan yang terdiri daripada lebih kurang 30 puncak, terletak di wilayah utara tengah Nepal. Ia juga merupakan sebahagian daripada pergunungan di banjaran Himalaya. Di sekitar ABC, pengunjung boleh melihat puncak-puncak seperti  Machhapuchhre (Fishtail), Annapurna I, Annapurna III, Gangapurna & Fang.  Beberapa puncak di Annapurna boleh dilihat dari Pokhara seperti Macchapuchhre, Annapurna South, Annapurna II dan Lamjung Himal. Namun begitu, untuk melihat pemandangan yang sangat menakjubkan, ia bergantung kepada cuaca dan mungkin juga kelembapan udara.

DSC08727 (1621 x 1077)
Macchapuchhre yang dapat dilihat dari stesen bas Pokhara

Titik permulaan untuk ke ABC bertumpu di sekitar Pokhara. Untuk ke Pokhara pula, pengunjung mempunyai pilihan sama ada menaiki pesawat Fokker dari lapangan terbang Kathmandu atau menaiki bas yang mengambil masa 8-9 jam. Bagi yang memilih untuk menaiki pesawat, jadual penerbangan adalah agak terhad kerana semua penerbangan dilakukan pada waktu siang, begitu juga halnya dengan perjalanan dengan bas.

Untuk memudahkan perjalanan, saya dan adik saya telah dinasihatkan oleh seorang sahabat berwarganegara Nepal untuk bermalam di sekitar Thamel kerana lebih hampir dengan stesen bas. Kami tiba di Pokhara sekitar jam 3.30 petang. Berbeza dengan Kathmandu, Pokhara mempunyai udara yang lebih bersih dan kurang sibuk. Kami memilih untuk menginap di Sampada Inn yang terletak berhampiraan tasik Phewa. Kami menggunakan waktu yang ada untuk melihat-lihat di sekitar pekan Pokhara dan membeli beberapa peralatan untuk hiking seperti sarung tangan, walking poles dan jaket. Harga kelengkapan untuk hiking adalah sangat murah dan kualitinya juga sangat memuaskan.

Pada malam hari, kami dan pemandu arah kami telah berbincang mengenai pelan perjalanan selama 8 hari menuju ke ABC dan pulang ke Pokhara. Laluan yang telah kami pilih ialah dari Nayapul – Gandruk – Chomrong dan seterusnya ke ABC. Jumlah jarak perjalanan kami selama 8 hari ini adalah 125 kilometer dan saya hampir tidak percaya saya mampu melakukannya, memandangkan saya tidak membat persediaan yang secukupnya.

Pada 2 hari yang pertama, perjalanan agak memberi tekanan memandangkan kami perlu menaiki dan menuruni laluan bukit yang curam. Udara pada altitud yang rendah juga tidaklah begitu menyegarkan kerana asap dari pembakaran yang dilakukan untuk aktiviti pertanian dan juga kenderaan-kenderaan yang lalu-lalang. Keesokan harinya, kami bertolak ke Nayapul, yang mengambil masa 1.5 jam dari Pokhara. Kami memulakan perjalanan ke Birethanti (30 minit perjalanan) untuk mengambil trekking pass dan mendaftarkan nama kami.

Untuk hari pertama, saya kerapkali mengalami kekejangan kaki. Inilah padahnya sekiranya melalukan aktiviti hiking tanpa membuat persediaan seperti berjogging. Selain itu juga, saya juga telah mengenakan kasut yang kurang sesuai. Ini adalah antara pengajaran dan peringatan berguna buat saya.  Kami meneruskan perjalanan ke Syauli Bazar untuk makan tengahari. Agak sukar juga untuk sampai ke destinasi memandangkan kami perlu menaiki beratus-ratus anak tangga yang tidak sekata. Setelah berehat, kami meneruskan perjalanan ke Ghandruk. Terdapat beberapa pilihan hotel di Ghandruk dan penunjuk arah kami mencadangkan hotel Robin. Pemandangan dari hotel ini sepatutnya amat menarik tetapi kami kurang bernasib baik kerana cuaca yang berkabus.

 

Annapurna Base Camp
Antara pilihan laluan untuk ke Annapurna Base Camp

 

Annapurna Base Camp - Birethanti
Sungai di sepanjang perjalanan dari Birethanti ke Syauli Bazar

 

Annapurna Base Camp
Antara laluan bertangga yang amat menguji kekuatan kaki di Syauli Bazar

Pada hari kedua, kami meneruskan perjalanan ke Chhomrong. Masa perjalanan adalah sekitar 8 jam dan lebih mencabar berbanding hari pertama kerana kami perlu menaiki dan menuruni bukit yang curam. Nampaknya perjalanan menaiki bukit adalah lebih mudah berbanding menuruni bukit. Terasa impak yang agak menyakitkan pada kedua-dua belah lutut saya. Maklumlah, sudah agak lama saya tidak melakukan aktiviti seumpama ini. Memandangkan kami akan berhenti berehat di Khimrongkola, kami harus menuruni bukit yang berliku dan curam sebelum tiba di kawasan lembah tersebut. Ketika inilah jari-jari kaki saya mula terasa perit kerana melecet. Mujurlah adik saya telah menyediakan ubat-ubatan yang secukupnya. Setelah berehat secukupnya, kami meneruskan perjalanan, kali ini menaiki bukit. Apa yang lebih merunsingkan saya, cahaya matahari begitu terik membuatkan saya hampir hilang kudrat untuk meneruskan perjalanan. Namun begitu, setelah mengingati nasihat dari mereka yang berpengalaman, saya berhenti apabila perlu dan meneruskan perjalanan perlahan-lahan dan minum air yang mencukupi.Jam 4.30 petang, kami tiba di Chhomrong dan menginap di Excellent View hotel.

Annapurna Base Camp - Kimrongkhola
Lembah di Kimrongkhola

Kami teruskan perjalanan pada hari ketiga menuju ke Dovan sebagai destinasi untuk hari ini. Laluan Chhomrong – Dovan amat terkenal dengan ribuan anak tangga dan laluan yang curam. Setelah beberapa minit menuruni bukit dari penginapan kami di Chhomrong, kami tiba di sebuah kedai yang menjual peralatan hiking. Saya telah membeli sepasang kasut hiking yang baru menggantikan kasut yang sedia ada. Syukurlah pergerakan saya akhirnya menjadi lebih mudah. Kami melalui perkampungan Sinuwa dan Bamboo. Kami singgah berehat di Sinuwa dan bertemu dengan beberapa orang hiker dari Malaysia. Seronok juga bertemu dengan orang senegara, lebih-lebih lagi apabila bertukar-tukar cerita mengenai pengalaman yang ditempuhi. Perjalanan dari Chhomrong ke Dovan mengambil masa lebih kurang 6 jam. Bermula di Sinuwa, pengunjung tidak dibenarkan untuk membawa sebarang bentuk daging. Berdasarkan kepercayaan purba yang dipegang sehingga kini, pergunungan Annapurna merupakan pergunungan suci dan terdapat pantang-larang yang harus dipatuhi. Sekiranya pantang-larang ini dilanggar, maka sesuatu yang buruk akan berlaku pada individu berkenaan.

Annapurna Base Camp - Chhomrong
Air mata air yang sangat jernih berhampiran Chhomrong

 

Annapurna Base Camp
Kehijauan di bawah pancaran matahari pagi

 

Annapurna Base Camp
Laluan dari Chhomrong menuju Dovan

 

Annapurna Base Camp - Annapurna South
Pemandangan Annapurna South

 

DSC08379
Perkampungan Kimrongkhola dari bukit seberang.

 

Annapurna Base Camp
Sungai yang kelihatan sangat bersih

 

Annapurna Base Camp
Laluan yang penting untuk bergerak dari satu kampung ke kampung yang lain

Perjalanan pada hari keempat nampaknya semakin menarik. Dengan pertambahan altitud, pemandangan sepanjang perjalanan juga menjadi bertambah mengagumkan. Bukan itu sahaja, udara juga menjadi lebih segar dan menyamankan. Untuk hari ini, kami meneruskan perjalanan ke Macchapuchhre Base Camp (MBC). Machhapuccchre bermaksud ‘ekor ikan’ di dalam bahasa Nepal. Macchapucchre merupakan salah satu puncak di pergunungan Annapurna yang berbentuk ekor ikan, maka di situlah puncak ini mendapat namanya. Kami melalui perkampungan Himalaya dan Deurali sebelum tiba di MBC. Ketinggian di MBC adalah 3200 meter dan ketinggian di Dovan pula adalah 2590 meter. Namun begitu, perjalanan ke MBC tidaklah sesukar hari-hari sebelumnya cuma kami agak khuatir apabila harus melalui kawasan berisiko runtuhan salji dan tanah runtuh. Kawasan berisiko ini bermula selepas perkampungan Deurali menuju MBC. Penunjuk arah kami menasihatkan agar kami cuba untuk tidak berhenti di sepanjang kawasan ini.

Annapurna Base Camp - Himalaya
Pemandangan dari perkampungan Himalaya

 

Annapurna Base Camp
Pemandangan sebelum tiba di perkampungan Deurali. Pasti lebih menarik tanpa kabus.

 

Bersambung catatan di bahagian 2 Annapurna Base Camp

Bahasa Melayu, Outdoors Activity

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *