Dunia Bawah Laut Pulau Perhentian

bg16

Dalam menyelusuri rutin harian di tempat kerja, adakalanya kebanyakan daripada kita perlu menghadapi tekanan kerja yang agak merimaskan. Ketika itulah, kita akan mencuba sedaya-upaya untuk  mencari jalan bagi meredakan tekanan yang dirasai. Lain orang, lain pula cara untuk  meredakan tekanan yang bersarang. Bagi saya, cara yang semestinya berkesan untuk meredakan tekanan adalah dengan melakukan aktiviti menyelam di pulau-pulau sekitar Malaysia, pada masa yang bersesuaian. Terdapat banyak pulau di sekitar semenanjung Malaysia yang semestinya menjadi destinasi yang bagus untuk aktiviti selam skuba. Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya menyelami pulau-pulau di Semenanjung Malaysia, saya merasakan dunia bawah laut Pulau Perhentian adalah yang paling menarik hati untuk saya kongsikan bersama.

Di Pulau Perhentian, terdapat banyak lokasi selam skuba dan boleh dikatakan setiap lokasi mempunyai daya penarik yang tersendiri. Antara lokasi selam skuba yang menjadi kegemaran saya adalah seperti Tokong Laut, Terumbu Tiga dan Vietnamese Wreck. Selain tiga lokasi ini, saya juga telah berpeluang untuk menyelam di lokasi-lokasi lain, sekaligus membolehkan saya membuat perbandingan mengenai keadaan dan daya tarikan dunia bawah laut di Pulau Perhentian ini. Antara lokasi-lokasi lain seperti Sugar Wreck, D’Lagoon, Tanjung Besi, Sea Bell, Batu Tabir dan Tanjung Tukas. Terdapat beberapa operator yang mengendalikan perkhidmatan selam skuba di sekitar Pulau Perhentian dan saya selalunya akan menggunakan perkhidmatan dari Seahorse Diver, yang terletak di Pulau Perhentian Besar.

Setiap kali sebelum selaman bermula, saya perlu memastikan semua peralatan berfungsi dengan baik dan perlu dipasang dengan betul. Semua penyelam skuba juga harus mendengar taklimat ringkas yang disampaikan oleh divemaster, yang merupakan penunjuk arah semasa selaman dilakukan. Taklimat ini adalah perlu bagi mengelakkan komplikasi atau masalah-masalah yang tidak diingini, memandangkan kebanyakan penyelam skuba tidak begitu arif mengenai selok-belok lokasi selaman.

Walaupun hampir 200 selaman telah dilogkan, saya masih lagi merasa berdebar-debar sebelum memulakan selaman. Sudah tentu debaran ini dirasai kerana saya tidak tahu apa yang bakal ditempuhi dan ditemui semasa meninjau-ninjau di sekitar dunia bawah laut Pulau Perhentian. Namun, debaran hilang dengan sendirinya apabila mata mula terpandang batuan karang yang  dilimpahi cahaya matahari dan juga ikan-ikan yang berlegar-legar di sekitar terumbu karang. Pada ketika ini jugalah, segala tekanan dan bebanan yang dirasakan sudah hilang entah ke mana.

Dunia bawah laut Pulau Perhentian sememangnya mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Kepelbagaian batu karang dari jenis lembut dan juga jenis keras memberi kesan yang sangat menenangkan dan membentuk lanskap yang menarik. Batuan karang sebenarnya merupakan habitat untuk kebanyakan jenis hidupan laut kerana ia menjadi tempat pembiakan haiwan-haiwan laut bertelur dan juga membekalkan sumer makanan. Kesihatan terumbu karang adalah amat penting kerana sekiranya kerosakan pada terumbu karang boleh menyebabkan ekosistemnya terganggu. Agak mudah juga untuk mengenali sama ada sesuatu kawasan terumbu karang adalah sihat atau tidak. Sekiranya terdapat banyak ikan dan haiwan laut yang lain, serta warna batuan karang yang menyerlah, itu menandakan terumbu karang tersebut adalah stabil dan sihat. Keadaan inilah yang ingin saya lihat setiap kali selaman dilakukan.

Dunia Bawah Laut Pulau Perhentian

Gorgonian seafan. Jenis karang laut yang menghasilkan lanskap yang menarik pada terumbu karang.

Dunia Bawah Laut Pulau Perhentian

Seafan atau kipas laut merupakan batu karang laut jenis lembut.

Bergantung kepada banyaknya cahaya matahari dan juga kekeruhan, ia akan menentukan suasana di sekitar lokasi selaman tersebut. Semakin rendah kekeruhan air, semakin tinggi jarak penglihatan. Persekitaran sebegini merupakan keadaan yang paling ideal buat penyelam yang ingin mengambil gambar di sekitar terumbu karang. Penembusan cahaya matahari yang tinggi juga mampu menghasilkan suasana yang tenang di sekitar kawasan terumbu karang. Sekiranya kurang cahaya matahari, para penggemar fotografi perlu bergantung kepada pencahayaan tambahan, seperti menggunakan lampu suluh atau strob.

Dunia bawah laut Pulau Perhentian juga mempunyai variasi hidupan laut yang tinggi. Saya seringkali bertemu dengan sekumpulan ikan-ikan kecil yang berwarna kuning (ikan selar kuning barangkali!) dan juga ikan-ikan berwarna-warni yang berlegar-legar di kawasan terumbu karang. Saya amat meminati clownfish, iaitu ikan yang menjadikan buran (sea anemone) sebagai tempat tinggalnya. Tidak seperti namanya, clownfish merupakan sejenis ikan yang agak protektif apabila ada penyelam yang cuba mendekati habitatnya. Namun begitu, ada juga clownfish yang agak jinak, yang sudah terbiasa dengan kehadiran penyelam dan memberi tindak-balas yang melucukan kepada para penyelam. Selain itu, ikan terumbu karang yang dikenali sebagai batfish, adalah antara ikan yang saya gemari kerana ‘keramahannya’. Seringkali ikan ini akan ‘menyambut’ kehadiran penyelam-penyelam di kawasan terumbu karang dan mengekori penyelam berlegar-legar di kawasan terumbu karang.

Dunia Bawah Laut Pulau Perhentian

Batfish. Antara ikan yang agak peramah dan tidak begitu takutkan manusia (Sea Bell)

Dunia Bawah Laut Pulau Perhentian

Clownfish ataupun ikan badut yang mendiami buran. (D’Lagoon)

Dunia Bawah Laut Pulau Perhentian

Bamboo nurse shark. Spesis ikan yu yang tidak berbahaya dan mendiami celah-celah batuan karang (Tokong laut)

Teringat pula pada suatu ketika saya dan sahabat-sahabat penyelam membuat selaman di Tokong Laut. Pada ketika ini, saya baru sahaja memperolehi lesen menyelam dan belum mempunyai rekod menyelam yang banyak. Bermula di lokasi selaman sinilah saya merasakan betapa indahnya dunia bawah laut Pulau Perhentian yang pastinya tidak akan luput dari ingatan. Airnya yang sangat jerneh dan beratus-ratus obor-obor kecil boleh kelihatan dari permukaan air. Agak risau juga untuk memulakan penyelaman kerana dikhuatiri disengat obor-obor. Tetapi setelah diberitahu obor-obor tersebut tidak berbahaya, barulah kami yakin untuk memulakan penyelaman. Di lokasi selaman ini jugalah saya dapat bertemu dengan penyu karah dan ikan yu karang (reef shark)  buat pertama kali.

Sebenarnya, dunia bawah laut juga amat saya gemari kerana keunikan hidupan lautnya. Ada haiwan-haiwan laut mempunyai rupa dan bentuk yang menakutkan, tetapi sebenarnya haiwan-haiwan tersebut tidak berbahaya, melainkan mereka merasa terancam. Ada juga haiwan-haiwan laut yang sangat cantik dan berwarna-warni, tetapi boleh jadi amat berbahaya sekiranya penyelam-penyelam kurang berhati-hati. Sebagai contoh, jenis-jenis belut Moray kelihatan agak menakutkan tetapi jarang sekali menyerang penyelam-penyelam. Berlainan pula dengan ikan yang dikenali sebagai Titan triggerfish di kalangan penyelam skuba, ikan ini amat agresif dan sudah banyak kejadian penyelam diserang ikan ini. Ikan ini menjadi agresif apabila ada penyelam yang menghampiri tempat bertelurnya.

Dunia Bawah Laut Pulau Perhentian

‘White eyed Moray eel’. Spesis belut yang sering ditemui di celah-celah batuan.

 

Dunia Bawah Laut Pulau Perhentian

Sotong katak.

Dunia Bawah Laut Pulau Perhentian

Belut Moray gergasi.

Berdasarkan apa yang telah saya lalui selama menjadi penyelam skuba, saya masih lagi menyimpan hajat untuk kembali menyelami dunia bawah laut Pulau Perhentian dalam masa terdekat. Sayaberharap keindahan yang pernah saya saksikan sebelum ini, masih lagi dikekalkan dan akan terus berkekalan sehingga generasi yang akan datang.

Terima kasih yang tidak terhingga buat sahabat saya, Abdul Rahman Abdullah, yang sudi mengongsikan gambar-gambar bawah air beliau untuk dijadikan tatapan setiap pembaca.

 

Categories
Bahasa MelayuMalaysiaScuba Diving in Malaysia
No Comment

Leave a Reply

*

*

Related Post