Hujung minggu di Pulau Kapas

Hujung Minggu Di Pualau Kapas pic from Flickr by Dave_Anderson

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke jeti Marang yang mengambill masa kira-kira 4 jam 30 minit ternyata berbaloi bagi mereka yang ingin mencari ketenangan, berekreasi atau menghabiskan masa hujung minggu di Pulau Kapas. Dari jeti Marang, semua pengunjung yang ingin ke Pulau Kapas harus menggunakan perkhidmatan bot laju yang berharga RM40 untuk dua hala, dan mengambil masa sekitar 15 minit. Perkhidmatan bot bermula seawal 9 pagi dan memandangkan saya telah berada di Marang seawal jam 8 pagi, saya memilih untuk tiba di Pulau Kapas lebih awal dan bersantai seketika di tepi pantai sambil menyaksikan perubahan warna permukaan laut apabila matahari semakin tinggi.

Hujung minggu di Pulau Kapas

Jeti Pulau Kapas

Seperti kebanyakan penginapan lain, waktu daftar masuk adalah pada jam 12 tengahari tetapi saya bernasib baik kerana dibenarkan untuk mendaftar masuk seawal jam 10.30 pagi.  Setelah mendaftar masuk di Kapas Island Resort, saya mengenakan pakaian yang sesuai dan mula bersiar-siar di sepanjang pantai  Pulau Kapas dan mengenalpasti beberapa restoran dan premis yang menyediakan perkhidmatan aktiviti rekreasi seperti berkayak, selam SKUBA, snorkeling dan lain-lain aktiviti. Selain itu, saya turut membuat tinjauan harga untuk setiap aktiviti yang telah saya fikirkan untuk keesokan hari.

Terdapat beberapa penginapan yang boleh dipilih di Pulau Kapas dan pada kebiasaannya, saya menempah dahulu penginapan sebelum tiba di sana memandangkan lawatan saya ke Pulau Kapas adalah  pada hujung minggu. Antara penginapan yang popular di Pulau Kapas termasuklah Kapas Coral Beach Resort, Kapas Island Resort, Makcik Gemuk Resort Kapas dan beberapa lagi penginapan-penginapan yang boleh dipilih. Namun begitu, tidak semua penginapan boleh ditempah secara online. Bagi pengunjung yang tidak sempat membuat tempahan bilik, tempahan boleh dilakukan sebaik saja tiba di jeti Marang kerana terdapat beberapa kedai yang menyediakan perkhidmatan tempahan tempat penginapan di Pulau Kapas. Bagi yang sukakan cabaran dan ingin berliburan dengan bajet yang lebih kecil, bolehlah berkhemah di Pulau Kapas yang mana terdapat tapak perkhemahan yang mengenakan bayaran serendah RM15 semalam, termasuk sewa khemah. Dengan cara ini juga, penggemar aktiviti luar seumpama ini boleh memasak makanan sendiri atau menikmati hidangan di restoran-restoran yang terdapat di sekitar Pulau Kapas.

Setelah mendaftar masuk di Kapas Island Resort, saya mengenakan pakaian yang sesuai dan mula bersiar-siar di sepanjang pantai  Pulau Kapas dan mengenalpasti beberapa restoran dan premis yang menyediakan perkhidmatan aktiviti rekreasi seperti berkayak, selam SKUBA, snorkeling dan lain-lain aktiviti. Selain itu, saya turut membuat tinjauan harga untuk setiap aktiviti yang telah saya fikirkan untuk keesokan hari. Seboleh-bolehnya saya pastikan hujung minggu di Pulau Kapas memberikan saya kepuasan dan ketenangan sebelum memulakan kerja pada hari Isnin.

Hujung minggu di Pulau Kapas

 

Di Pulau Kapas, Aqua Sport merupakan satu-satunya premis yang menyediakan perkhidmatan selam SKUBA dan pada masa yang sama, ia juga menyediakan perkhidmatan snorkeling di beberapa poin sekitar Pulau Kapas. Saya tidak pula merancang untuk melakukan aktiviti selam SKUBA pada kali ini memandangkan saya sudah tidak melakukan aktiviti ini hampir 3 tahun. Maka saya perlu menjalani ‘refresher course’ di pusat akuatik atau kolam renang, sebelum boleh memulakan aktiviti selam SKUBA di pulau.

Hujung minggu di Pulau Kapas

 

Seperti pulau-pulau lain di pantai semenanjung Malaysia, harga makanan di restoran-restoran atau kafe-kafe di sini agak mahal. Sepinggan nasi goreng berharga sekitar RM9 ke RM12 sepinggan. Untuk hidangan makan malam dan barbeku secara buffet, harganya pula sekitar RM25. Air mineral 1.5 liter berharga RM4, manakala mi segera dan snek-snek dijual dengan harga sekitar RM4 – RM5. Bagi mereka yang sudah biasa menginap di pulau-pulau, sudah pasti bekalan makanan akan dibawa sebanyak mungkin untuk mengurangkan perbelanjaan. Lebih jimat lagi sekiranya pengunjung yang mengunjungi Pulau Kapas boleh memasak makanan sendiri, namun ia boleh dilakukan bagi mereka yang berkhemah. Tidak pasti pula jika di Pulau Kapas ini terdapat penginapan yang membenarkan tetamu memasak sendiri makanan mereka

Hari ke-2 di Pulau Kapas merupakan hari yang penuh dengan aktiviti rekreasi. Setelah bersarapan di restoran Kapas Island Resort, saya terus menuju ke Harmony Campsite untuk memulakan aktiviti berkayak. Sengaja saya memilih untuk berkayak pada waktu pagi untuk mengelakkan pancaran matahari yang terik. Penyewa-penyewa kayak tidak dinasihatkan untuk berkayak di sepanjang persisiran Pulau Kapas yang menghadap Laun Cina Selatan, memandangkan ombak yang agak kuat dan tiada talian komunikasi sekiranya berlaku kecemasan. Terasa rugi pula kerana tidak berkayak sehingga ke Pulau Gemia,iaitu sebuah pulau kecil yang terletak bersebelahan dengan Pulau Kapas. Di Pulau Gemia, terdapat sebuah santuari penyu yang mana pelawat berpeluang melihat anak-anak penyu yang baru menetas. Bayaran yang dikenakan hanyalah RM2. Pulau Gemia juga mempunyai sebuah resort mewah, iaitu Gem Island Resort & Spa.

Hujung minggu di Pulau Kapas

Setelah berkayak untuk 1.5 jam, saya bersnorkeling pula.  Sebelum memulakan aktiviti snorkeling ini, saya telah dinasihatkan oleh pemilik Harmony Campsite agar berhati-hati ketika bersnorkeling kerana terdapat beberapa pengunjung yang mengalami gatal-gatal disebabkan sejenis organisma halus yang sedang aktif ketika air sedang pasang. Pada awalnya saya sangkakan mungkin pengunjung-pengunjung tersebut mengalami alahan. Tetapi setelah saya mulakan aktiviti bersnorkeling, terasa juga seolah-olah kulit saya dicucuk oleh sesuatu. Hairan juga kerana saya tidak pernah pula mengalaminya sebelum ini walaupun lebih kerap menyelam dan bersnorkeling. Pada ketika ini, losyen Calamine perlu ada untuk mengurangkan kerengsaan dan kegatalan kulit.

Hujung minggu di Pulau Kapas

Berkayak di Pulau Kapas

Kejernihan air, ikan-ikan yang berwarna-warni dan batu karang yang hidup subur menjadikan aktiviti snorkeling pada hari ini amat menarik. Sayangnya saya tidak mempunyai kamera untuk merakamkan keadaan bawah air di sini.

Setelah bersnorkeling, saya kembali ke bilik dan membersihkan diri sebelum makan tengahari. Terasa lapar pula setelah melakukan aktiviti-aktiviti ini. Setelah itu, saya berehat di tepi pantai, mengambil angin segar dan membaca novel.

Kira-kira jam 4.30 petang, saya kembali semula ke Harmony Campsite untuk menyertai aktiviti treking ke Batu Singa. Sebelum ini, saya tidak pernah mengetahui tentang kewujudan Batu Singa sehinggalah pekerja Harmony Campsite memberitahu laluan treking yang ada di Pulau Kapas. Perjalanan ke Batu Singa mengambil masa sekitar 45 minit sehala dan harus saya katakan para trekker perlu mengenakan kasut yang sesuai. Walaupun jarak ke Batu Singa tidak begitu jauh, namun kami perlu melalui kawasan berbatu yang kasar dan licin. Trek tersebut agak mencabar bagi saya yang hanya berselipar ketika itu memandangkan saya tidak menjangka akan melakukan aktiviti ini.

Hujung minggu di Pulau Kapas

Melalui trek ke Batu Singa

Batu Singa menjadi lokasi yang sangat menarik untuk melihat matahari terbenam, namun nasib kami tidak begitu baik memandangkan awan tebal melitupi matahari. Selain itu, jurugambar-jurugambar professional juga menjadikan lokasi ini sebagai “studio”.

Untuk ke puncak bukit yang berhadapan dengan Batu Singa, kami perlu memanjat cenuram. Pada mulanya saya dan para trekker yang lain berasa agak ragu-ragu tetapi dengan panduan penunjuk arah, kami tiba juga di puncak. Bagi yang takut berada di tempat tinggi, puncak ini boleh jadi menggayatkan. Kami perlu berhati-hati agar tidak berada terlalu dekat dengan tebing memandangkan angin kuat yang bertiup secara tiba-tiba boleh menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku. Di sini, saya mengambil sebanyak gambar yang mungkin dan menikmati angin yang bertiup dari Laut Cina Selatan. Sungguh menyegarkan!

Hujung minggu di Pulau Kapas

Batu Singa yang terletak di utara Pulau Kapas

Hujung minggu di Pulau Kapas

Struktur tebing hasil dari hakisan ombak

Hujung minggu di Pulau Kapas

Menghadap Laut Cina Selatan

Hujung minggu di Pulau Kapas

Pemandangan dari puncak berhadapan Batu Singa

Setelah puas, kami mulakan penurunan dan berjalan pulang ke tempat penginapan masing-masing. Sekali lagi saya seolah-olah terkena alahan apabila kulit saya menyentuh rumput-rumput panjang semasa menuruni bukit. Amat merengsakan tetapi saya harus menahan sehingga tiba di bilik penginapan.

Setelah mandi dan berehat, saya menuju ke Kapas Coral Beach Resort untuk makan malam dan berbual-bual dengan pengunjung-pengunjung lain. Sukar untuk saya terima bahawa saya perlu pulang ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya dan terasa begitu cepat masa berlalu.

Keesokan harinya, saya mendaftar keluar dari Kapas Island Resort dan menuju ke jeti Marang. Walaupun terasa berat untuk menamatkan percutian ini, sekurang-kurangnya hujung minggu di Pulau Kapas telah saya isikan dengan aktiviti-aktiviti kesukaan saya yang jarang dapat dilakukan.

Categories
Bahasa MelayuMalaysia
3 Comments on this post.
  • Aziera
    16 April 2017 at 9:23 am
    Leave a Reply

    Hi saya nak tanya.kalau hiking bukit singa perlukan guide or tak?

    • Laney Junita
      16 April 2017 at 9:40 am
      Leave a Reply

      Hi Aziera. Memang kena pakai guide kalau nak hiking bukit singa sebab trek memang tak ada. Laluan agak mengelirukan dan ada tempat yg agak berbahaya dan licin.

  • liyana
    29 May 2017 at 3:36 pm
    Leave a Reply

    guide tu boleh ambik masa kite sampai sane ke? kalau kite buat day trip kena booked mcm mne?

  • Leave a Reply

    *

    *


    Related Post