Itinerari 3 hari di kota London

Itinerari 3 hari di kota London

Ibukota London yang menjadi pusat pentadbiran utama England, telah menjadi destinasi pilihan utama bagi kebanyakan pelancong dari serata dunia. Pengalaman saya semasa berada di London pada pertengahan musim luruh yang lalu telah memberikan saya peluang untuk mengumpul maklumat mengenai tempat-tempat yang harus dilawati di kota ini. Saya kongsikan itinerari 3 hari di kota London di sini.

Setibanya di London, saya telah mendapatkan kad perjalanan harian untuk menggunakan subway (atau underground) yang dinamakan Oyster Card. Memandangkan kebanyakan tarikan di London terletak di sekitar zon 1, maka tambang maximum yang akan dikenakan ialah sekiranya menggunakan Oyster Card ialah GBP 6.50  (anggaran RM36), dari jam 4.30 pagi hingga 4.30 pagi berikutnya, dengan bilangan perjalanan tanpa had. Tanpa Oyster Card, harga tiket untuk 1 perjalanan ialah GBP 4.90 (RM 27) sehala.

Bagi yang ingin meluangkan masa untuk memasuki dan melihat-lihat di dalam setiap tarikan di London seperti Tower of London, Westminster Abbey, Tower Bridge, dan beberapa muzium, saya mengesyorkan pembelian London Pass untuk 3 hari (GBP 95) kerana pemilik pas ini boleh melawat tarikan-tarikan utama di London tanpa perlu beratur panjang. Yuran kemasukan untuk setiap tarikan akan saya nyatakan di perenggan-perenggan seterusnya. Selain itu, pemilik pas juga boleh menggunakan perkhidmatan Hop On Hop Off (1 hari sahaja) sekiranya ingin melihat setiap tarikan dari luar. Tanpa London Pass, yuran sebanyak GBP 25 dikenakan. Perkhidmatan bot pelayaran di sepanjang sungai Thames juga boleh digunakan oleh pemilik London Pass secara percuma (GBP 18 tanpa London Pass). Itinerari 3 hari di kota London pastinya membolehkan banyak tarikan dilawati dengan kos yang minimum sekiranya London Pass digunakan.

 

Hari pertama – Itinerari 3 hari di kota London

Tower Bridge (London Bridge)

Dengan menaiki underground menuju stesen Tower Hill, pengunjung boleh melawat 2 tarikan utama yang berhampiran dengan stesen ini iaitu Tower Bridge (GBP 26.95 tanpa London Pass) dan Tower of London (GBP 22.50 tanpa London Pass). Lawatan ke Tower Bridge membolehkan pengunjung  mengetahui sejarah selama 2000 tahun di jambatan ini dan kawasan sekitarnya, termasuklah kebakaran besar di London dan juga pembunuh bersiri yang digelar Jack the Ripper. Lawatan ke sini merupakan lawatan interaktif dan sangat berinformasi. Luangkan masa di sini antara 1 jam hingga 1.5 jam.

dsc00257

Struktur yang menjadi ikon utama di London

Tower of London

Dari London Bridge, pelawat hanya perlu berjalan kaki ke Tower of London, yang merupakan salah sebuah daripada 4 tapak warisan dunia UNESCO. Selain berfungsi sebagai kubu,  ia juga berfungsi sebagai istana diraja, penjara, tempat simpanan senjata dan juga zoo. Lawatan ke Crown Jewels merupakan lawatan yang paling saya minati kerana dapat mengetahui dan melihat sendiri artifak-artifak yang sangat penting kepada monarki British. Masa yang dicadangkan untuk lawatan ke Tower of London ialah 1 hingga 1.5 jam.

dsc00299_1

Tower of London, antara tarikan yang diwartakan sebagai tapak warisan dunia UNESCO

dsc00295_1
Thames River Cruise

Dari Tower of London, pengunjung hanya perlu berjalan kaki ke jeti yang berdekatan untuk menggunakan perkhidmatan bot pelayaran, Thames River Cruise. Masa pelayaran dari 30 minit sehingga 3 jam dan pelawat boleh turun dan naik bot pelayaran di 4 lokasi iaitu Westminster, London Eye, Tower Bridge dan Greenwich. Menaiki river cruise merupakan salah satu cara untuk melihat tarikan-tarikan yang terletak di sepanjang sungai Thames seperti Houses of Parliament, Westminster Abbey, Big Ben, The London Eye, The Tower of London, Tower Bridge, Shakespeare’s Globe dan lain-lain lagi.

image

Kredit foto : TimeOut.com

St. Paul’s Cathedral

Bagi pengunjung yang ingin mempunyai masa untuk diluangkan, bolehlah berkunjung ke katedral St. Paul dengan menaiki underground ke stesen St. Paul’s, Blackfriars atau Mansion House, dan berjalan kaki sekitar 2 hinga 5 minit. Katedral ini merupakan yang kedua terbesar di England dan mempunyai kubah yang mendominasi lanskap London sejak sekian lama. Yuran masuk ke katedral ini ialah GBP 18 dan tidak termasuk dalam senarai London Pass.

dsc00379

Katedral St. Paul

dsc00404

Pemandangan Katedral St. Paul dari sungai Thames

 

Hari kedua – Itinerari 3 hari di kota London

Hop On Hop Off

Hari kedua dimulakan dengan menggunakan perkhidmatan Hop On Hop Off yang termasuk dalam London Pass. Masa yang diperuntukkan adalah sekitar 2 – 3 jam, bergantung kepada keadaan trafik. Terdapat 3 laluan berbeza dan setiap laluan mempunyai kategori tarikan – tarikan yang berbeza. Perkhidmatan ini merangkumi semua tarikan utama di London. Ada juga pengunjung yang menjadikan perkhidmatan ini sebagai mod pengangkutan utama, tetapi saya lebih menyarankan penggunaan underground kerana faktor masa.

Kew Garden

Setelah berpuas dengan perkhidmatan Hop On Hop Offsaya menuju ke stesen underground berdekatan untuk ke Kew Gardens, yang merupakan sebuah taman botani diraja, yang juga merupakan tapak warisan dunia UNESCO. Masa perjalanan ke stsesen Kew Gardens adalah kurang dari 30 minit dan terletak di luar zon tengah kota London. Keluasan taman botani ini ialah 121 hektar dan mempamerkan ribuan variasi tumbuh-tumbuhan dari kumpulan bonzai, kaktus, bunga-bungaan dan lain-lain lagi. Masa yang ideal untuk diluangkan di sini sekitar 1 hingga 1.5 jam. Tiket masuk ialah GBP 15 (percuma dengan London Pass)

kewgardens2302b

Arboratum di Kew Garden

Kensington Palace

Dari stesen Kew Gardens,  saya mengambil underground  menuju ke stesen Queensway untuk melawat Kensington Palace, yang kini merupakan tempat kediaman pasangan diraja William dan Kate. Istana ini menyimpan sejarah mengenai keturunan ratu Victoria dan juga mempunyai taman-taman yang sangat indah. Saya telah menghabiskan masa hampir 1 jam di sini.

dtgkenpalace0_2180623b

Laman luar di Kensington Palace (Kredit Foto : SimplyTicket.Com)

Queensway

Setelah seharian melawati tempat-tempat menarik, tiba pula masa untuk membeli-belah, terutamanya buah tangan seperti  t-shirt, poskad, magnet dan sebagainyaKedai-kedai di sekitar kawasan ini memberikan harga yang termurah, berbanding di kawasan-kawasan tarikan lain di kota London. Pengunjung juga boleh menikmati makanan halal di restoran-restoran yang dimiliki komuniti Arab di sekitar kawasan ini. Lokasinya tidak jauh dari Kensington Palace dan saya hanya berjalan kaki sahaja.

Buckingham Palace

Seterusnya, saya menaiki underground ke stesen Westminster dan berjalan kaki ke Buckingham Palace. Istana yang masih lagi berfungsi sebagai tempat kediaman rasmi Ratu Elizabeth II ini adalah antara tarikan utama di kota London. Yuran masuk ke istana ini ialah GBP 21 (tidak termasuk dalam London Pass) dan hanya dibuka ketika musim panas. Pada musim lain, pengunjung boleh menyaksikan upacara perubahan kumpulan pengawal istana pada jam 11.30 pagi.

buckingham-palace-tour-summer-opening-2015-ad00c5354eb7aff837932abb96167006

Buckingham Palace, istana yang masih didiami oleh Ratu Elizabeth sehingga kini (Kredit Foto : VisitLondon.Com)

Palace of Westminster (Houses of Parliament) & Big Ben

Saya kembali semula ke stesen Westminster dan berjalan kaki menuju ke Palace of Westminster yang terletak di seberang stesen underground. Menara jam di sebelah parlimen ini merupakan ikon utama yang sangat dikenali ramai, iaitu Big Ben. Masa yang dicadangkan untuk diluangkan di kawasan luar parlimen ini ialah 30 minit.

dsc00693

dsc00707

Westminster Abbey

Setelah mendapatkan foto yang saya ingini, saya menuju pula ke Westminster Abbey, iaitu sebuah gereja besar yang menyaksikan majlis perkahwinan diraja di antara Putera William dan Kate Middleton. Selain itu juga, ia merupakan tapak warisan dunia UNESCO. Yuran masuk ialah GBP 20 (percuma dengan London Pass). Masa yang dicadangkan di sini ialah 30 minit.

dsc00439

Sebuah lagi tapak warisan dunia UNESCO di London, Westminster Abbey.

dsc00428

 

 

Hari Ketiga – Itinerari 3 hari di kota London

Di kota London, terdapat beberapa buah muzium yang boleh dilawati secara percuma seperti Victoria & Albert Museum, Science Museum dan Natural History Museum, manakala pengunjung ke Royal Albert Hall pula dikenakan bayaran sebanyak GBP 13.50 (percuma bagi pemegang London Pass).

Royal Albert Hall

Bangunan berprestij ini telah menjadi bangunan bersejarah dan telah menyaksikan lebih daripada 150,000 persembahan. Ia dibuka pada tahun 1871 dan mempunyai rekabentuk yang begitu menarik sekali. Stesen underground yang terdekat ialah South Kensington.

dsc00313

Royal Albert Hall pada waktu malam.

Trafalgar Square

Sekiranya pengunjung kota London ingin bersiar-siar dan atau cuma duduk setempat sambil melihat gelagat pengunjung-pengunjung lain, Trafalgar Square merupakan tempat yang ideal. Dataran ini terkenal dengan beberapa struktur seperti Nelson’s Column, kolam pancuran air dan 4 tapak tiang yang mempunyai patung tembaga berbentuk singa. Di sekitar dataran ini juga, terdapat beberapa tarikan lain seperti National Gallery, National Portrait Gallery dan St. Martins in the Field. Kesemua tarikan ini adalah percuma kepada semua pengunjung. Untuk ke Trafalgar Square, adalah lebih mudah jika mengambil underground ke stesen Charing Crosss

Shakespeare’s Globe Theatre

Akhir sekali, bagi pengunjung yang ingin mengetahui dan meminati hasil kerja William Shakespeare, Shakespeare’s Globe Theatre merupakan tarikan yang ideal untuk dikunjungi. Premis ini adalah percuma kepada pemilik London Pass, atau yuran kemasukan dikenakan sebanyak GBP 15 tanpa pas. Stesen underground yang berdekatan ialah London Bridge.

Sebenarnya banyak lagi tarikan yang boleh dilawati yang boleh dilawati secara percuma dengan London Pass. Itinerari 3 hari di kota London ini telah pun memberi penjimatan yang ketara untuk setiap pembelian London Pass. Adalah penting untuk menyemak waktu operasi setiap tarikan dan merancang lawatan sebaik-baiknya.

Categories
Bahasa MelayuEuropeThings To DoTips
No Comment

Leave a Reply

*

*


Related Post