Keindahan Alam di Jawa Timur

Keindahan Alam di Jawa Timur

Impian untuk menikmati keindahan alam di Jawa Timur akhirnya menjadi kenyataan setelah mendarat di Bandara Juanda, Surabaya. Setelah melepasi kawalan imigresen dan kastam, saya bertemu dengan sahabat saya yang akan membawa saya melihat keindahan alam di Jawa TimurMemandangkan ketibaan saya di Surabaya agak lewat dan perjalanan ke destinasi yang akan kami tujui mengambil masa selama 4 jam, kami beredar dari lapangan terbang dengan segera. Walaupun terasa mangantuk, saya tidak sampai hati untuk tidur tetapi sebaliknya menemani sahabat saya yang perlu memandu. Lagipun, jalan yang tidak begitu rata tidak mungkin membolehkan saya tidur.

Kami tiba di kaldera Bromo-Tengger Semeru, yang digazetkan sebagai taman negara Indonesia sekitar jam 4 pagi. Keadaan di sini amat sejuk dan kami mengenakan pakaian yang tebal untuk menahan cuaca sejuk di sini. Sahabat saya terus memandu menuju ke Bukit Penanjakan. Di kaki Bukit Penanjakan, kami menaiki kuda (RPH 100,000 seorang) untuk ke puncak bukit ini bagi melihat pandangan matahari terbit

Saya terpana dengan pemandangan yang begitu indah dan mengagumkan. Di hadapan saya, terletaknya Gunung Bromo yang aktif mengeluarkan stim, Gunung Semeru dan Gunung Batok.

Gunung Berapi dan Air Terjun di Jawa Timur

Gunung Bromo yang mengeluarkan stim dan Gunung Batuk bersebelahannya, berlatarbelakangkan Gunung Semeru

 

Gunung Berapi dan Air Terjun di Jawa Timur

Kabus di kaki gunung

 

Gunung Berapi dan Air Terjun di Jawa Timur

Lautan awan di kaki gunung

Malangnya kami tidak dapat melihat pemandangan ketika matahari terbit yang disebabkan awan tebal, lalu kami terus menuju ke kenderaan kami dan menuju ke kawasan yang dikenali sebagai Whispering Savannah, atau Pasir Berbisik dalam bahasa Indonesia. Kawasan ini merupakan kawasan padang rumput yang mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Ia juga menjadi kawasan di mana orang-orang Tengger mengumpulkan rumput-rumput utk diberikan kepada kuda peliharaan mereka. Rumput-rumput tersebut tumbuh dengan banyaknya terutamanya pada musim hujan.

Whispering Savannah

Whispering Savannah atau Pasir Berbisik yang masih berkabus

Kami meneruskan hala tuju kami ke kaki Gunung Bromo, merentasi kawasan yang dipanggil Laut Pasir. Tekstur pasir yang sangat halus dan berwarna kelabu di kawasan ini merupakan hasil daripada aktiviti gunung berapi. Beberapa bulan sebelum kunjungan kami ke sini ini, aktiviti gunung berapi di Gunung Bromo berlaku agak lama sebelum ia meletus. Kami difahamkan bahawa selepas letusan yang agak dahsyat, lapisan debu gunung berapi terbentuk setebal beberapa kaki. Banyak tanaman yang musnah dah kehijauan tumbuhan di sekitar di sini hampir lenyap sama sekali.

Kami melalui Gunung Batok dan sebuah pura (tempat persembahan atau kuil Hindu) sebelum kami tiba di kaki Gunung Bromo. Pura ini dikatakan tidak musnah sama sekali walaupun telah beberapa kali Gunung Bromo meletus. Pura ini juga menjadi lokasi upacara Yadnya Kasada, yang diadakan setahun sekali mengikut kalendar masyarakat Tengger di Jawa Timur Gunung Bromo merupakan gunung suci bagi masyarakat Tengger dan perkataan Bromo itu sendiri sebenarnya  merujuk kepada Brahma, iaitu salah satu dari 4 dewa dalam agama Hindu.
Gunung Berapi dan Air Terjun di Jawa Timur

Gunung Batok

Setelah berjalan kaki sejauh 2-3 kilometer, kami tiba di kaki Gunung Bromo, kami menaiki melebihi 200 anak tangga untuk ke pinggir kawah Gunung Bromo. Pelawat juga boleh menyewa kuda yang berharga Rph 100,000 sehala sekiranya tidak larat untuk berjalan kaki. Setibanya di pinggir kawah, saya dapati ada beberapa makanan seperti pulut kuning, ayam bakar dan buah-buahan diletakkan di situ. Gunung Bromo tidak putus-putus membebaskan bahan hasil dari aktiviti gunung berapi yang berupa wap air dan gas-gas. Apabila letusan gunung berapi akan berlaku, bahan-bahan yang dibebaskan akan berganda menjadi lebih banyak dan gegaran akan mula terasa akibat daripada keaktifan di dasar kawah.
dsc_0098

Di pinggir kawah Gunung Bromo. Agak menggayatkan.

 Untuk menyempurnakan misi lawatan kami yang ingin melihat keindahan alam di Jawa Timur, kami meneruskan pula perjalanan le satu lagi lokasi yang memaparkan keindahan Alam di Jawa Timur iaitu air terjun Madakaripura. Perjalanan ke sini mengambil masa kurang 1 jam dari taman nasional Bromo-Tengger-Semeru. Air terjun ini terletak di wilayah Probolinggo dan merupakan antara air terjun yang paling saya minati.

Setelah tiba di tempat letak kenderaan, kami perlu berjalan kaki sejauh 1 km untuk ke kawasan air terjun tersebut. Laluan tersebut berkonkrit, walaupun ada laluan yang telah rosak, dan kami perlu menyeberangi sungai-sungai yang kecil. Sungai tersebut tidaklah dalam, cuma separas betis atau buku lali sahaja. Terdapat warung-warung kecil yang menjual snek dan minuman panas apabila menghampiri kawasan air terjun. Kami menyewa payung untuk melindungi barangan peribadi kami daripada kebasahan. Tetapi sekiranya pelawat mempunyai beg kalis air, dan tidak kisah dibasahi air terjun, tidak perlulah menyewa payung.

Sebelum tiba ke kolam air terjun utama, kami melalui laluan yang saya kirakan amat menarik.

Madakaripura

Laluan sebelum ke kolam utama air terjun Madakaripura

Madakaripura

Menuju ke air terjun

Madakaripura

Air Terjun Madakaripura

Setelah puas merendamkan kaki di air yang begitu dingin dan menyamankan, tiba masa untuk meneruskan perjalanan. Kali ini kami ke sebuah lagi gunung berapi iaitu Gunung Ijen, untuk melihat keindahan di sekitar Kawah Ijen, yang sering diperkatakan oleh sahabat saya.

Gunung Ijen dan Kawah Ijen terletak di antara daerah Banyuwangi dan daerah Bondowoso. Kawah Ijen terkenal dengan fenomena alam yang unik iaitu pembentukan api biru (blue fire), yang mana fenomena ini hanya terdapat di 2 tempat sahaja di dunia. Sebuah lagi tempat yang mempunyai fenomena api biru ini ialah di negara Iceland. Fenomena ini berlaku sekitar jam 2 hingga 4 pagi sahaja maka kami tidak berkesempatan untuk melihat fenomena ini.

Blur Fire, Api Biru

Fenomena api biru di Kawah Ijen (kredit foto: Wisata Backpackers)

Perjalanan ke kawasan Kawah Ijen bukanlah sesuatu yang menyelesakan memandangkan jalan yang dilalui tidak rata dan berlekak-lekuk. Tambah merengsakan apabila masa yang diambil untuk sampai ke Kawah Ijen ialah antara 5 – 6 jam. Hari telah pun gelap dan lebih mencemaskan apabile MPV yang kami naiki hampir tidak mampu untuk melalui laluan yang amat berbatu. Mujurlah sahabat pemandu yang kami upah tahu untuk mengendalikan kenderaan tersebut, walaupun ia tidak sesuai untuk dipandu di kawasan ini. Kami tiba agak lewat di Caltimore Guest House setelah melalui hutan belukar dan ladang kopi. Setibanya di tempat penginapan, kami mendaftar masuk, membersihkan diri dan makan malam sebelum tidur.

Keesokan harinya, kami bangun seawal 4 pagi dan berkemas sebelum bersarapan. Cuaca amatlah sejuk dan kami perlu mengenakan pakaian yang tebal. Setelah mendaftar keluar, kami terus menuju ke salah Kawah Ijen. Malangnya kami mengambil masa hampir 1 jam untuk tiba di pos pendaftaran Kawah Ijen, disebabkan pemandu kami tidak begitu arif tentang laluan di sini, dan MPV yang kami naiki terkandas. Mujurlah ada pemandu-pemandu lain yang sudi membantu.

Setibanya di pos pendaftaran, kami diberitahu bahawa kami perlu berjalan sejauh 3.5 kilometer untuk tiba di bawah Ijen. Perjalanan ke sana bukanlah melalui jalan yang rata, tetapi jalan yang memerlukan kami untuk menaiki bukit dan menuruni bukit. Mujurlah kami telah berjalan agak jauh semasa di Gunung Bromo, maka kami sepatutnya mampu untuk menempuh perjalanan yang lebih mencabar ini. Untuk menghilangkan sedikit kesengsaraan, kami berjalan sambil menikmati pemandangan di sekitar. Bukan pelawat sahaja yang ingin ke Kawah Ijen, tetapi juga pekerja-pekerja yang ingin mencari sesuap nasi di sana.

Kawah Ijen

 

Kawah Ijen

Pemandangan yang dapat dilihat dalam perjalanan menuju Kawah Ijen

Kami tiba juga di Kawah Ijen selepas sejam setengah menaiki dan menuruni bukit. Namun begitu, keadaan agak berkabus dan kami tidak dapat melihat pemandangan seperti yang kami lihat di internet. Nasib tidak menyebelahi kami kali ini. Kami merehatkan diri di pinggir kawah dan berharap agar kabus akan hilang dan matahari akan muncul. Namun kecewa kerana itu tidak terjadi. Hanya air biru kehijauan yang dapat kami lihat ketika ini.

Kawah Ijen

Air kehijauan yang sangat berasid di kawah Ijen

Belerang Kawah Ijen

Belerang (sulfur) di Kawah Ijen

Kami juga melihat pekerja-pekerja yang turun naik di kawasan kawah untuk mengambil belerang. Mereka mengangkut bongkah belerang yang berat dengan hanya menggunakan bakul rotan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah apa yang saya rasakan apabila melihat pelombong-pelombong membanting tulang empat kerat untuk mencari rezeki. Sukar untuk saya percaya seorang pekerja mampu membawa beban seberat 90 kilogram untuk setiap perjalanan turun dan naik. Nyatalah sekali apa yang saya diberitahu selama iaitu orang-orang Jawa Timur, atau Jawa secara umumnya, sememangnya terkenal dengan sifat rajin berkerja, tidak kira siang atau malam.

Kawah Ijen

Pekerja lombong sulfur yang sudi menjadi subjek kamera saya

Keindahan Alam di Jawa Timur

Belerang yang sedia untuk dibawa turun

Tiba waktu untuk kami beransur pergi dari Kawah Ijen menuju Surabaya. Walaupun penat, kami tetap merasakan lawatan ke 3 kawasan ini amat berbaloi dan menyeronokkan. Terdapat beberapa lagi kawasan yang memaparkan keindahan alam di Jawa Timur maka lawatan kedua perlulah dirancang seadanya.

 

Categories
AsiaBahasa Melayu
No Comment

Leave a Reply

*

*


Related Post

  • Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

    Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

    Liverpool, sebuah bandar di England yang pastinya menjadi impian setiap peminat pasukan bolasepak Liverpool untuk bertandang ke sini. Namun begitu, saya bukanlah seorang peminat bolasepak dan saya sendiri tidak...
  • Tarikan Dan Sejarah Welsh Di Cardiff

    Tarikan Dan Sejarah Welsh Di Cardiff

    Cardiff merupakan ibu negara Wales yang pada saya mempunyai suasana yang berbeza berbanding bandar-bandar lain di United Kingdom. Selain daripada tarikan yang ada di Cardiff, saya juga berpeluang mempelajari...
  • Mencari Damai di Pulau Mauritius

    Mencari Damai di Pulau Mauritius

    Penerbangan selama 7 jam dengan AirAsia X telah membawa kami ke Mauritius, sebuah pulau yang sangat indah dan menjadi destinasi impian kami sejak sekian lama. Tujuan utama kami adalah...
  • Itinerari 3 hari di kota London

    Itinerari 3 hari di kota London

    Ibukota London yang menjadi pusat pentadbiran utama England, telah menjadi destinasi pilihan utama bagi kebanyakan pelancong dari serata dunia. Pengalaman saya semasa berada di London pada pertengahan musim luruh...