Keindahan Bumi Kashmir

Perancangan selama setahun setengah untuk menjejakkan kaki di bumi India akhirnya menjadi kenyataan. Pengembaraan selama 3 minggu di India sememangnya tidak mencukupi bagi saya yang sentiasa ingin melihat kepelbagaian budaya, lanskap dan tinggalan sejarah di setiap pelusuk India. Mengapa India? Kerana 1001 macam tarikan yang terdapat di negara-negara lain, juga terdapat di India. Untuk catatan pengembaraan saya kali ini, saya mulakan dengan perjalanan melihat keindahan bumi Kashmir, yang merangkumi tempat-tempat menarik seperti bandar Srinagar, Sonamarg dan Pahalgam.

Perjalanan ke India bermula pada pertengahan bulan April kerana ketika ini, wilayah utara India mengalami musim bunga. Memandangkan tiada penerbangan terus ke Srinagar, saya dan seorang lagi sahabat mengambil penerbangan AirAsia ke Kolkata, dan pada keesokan hari, kami mengambil penerbangan ke Srinagar dengan transit di Delhi. Agak memenatkan sebenarnya tetapi itulah pilihan terbaik yang ada. Apa yang menarik, pemandangan sekitar banjaran Himalaya dapat dilihat semasa penerbangan apabila melalui ruang udara wilayang Jammu & Kashmir. Satu keindahan bumi Kahsmir yang menakjubkan.

Keindahan Bumi Kashmir

 

Srinagar

Di Srinagar, kami telah menempah sebuah houseboat yang berharga Rps 1000 semalam, lebih kurang RM 60, houseboat termurah di Dal Lake. Harga termasuk hidangan makanan 3 kali sehari dan kami telah memilih makanan harian penduduk Kashmir. Masih lagi terbayang-bayang betapa enaknya makanan Kashmir lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang sejuk dan mendung hampir sepanjang masa. Untuk bergerak dari satu-satu kawasan di sekitar Dal Lake, satu-satunya pengangkutan yang digunakan ialah shikara, yang menyerupai sampan tetapi berbumbung dan dihias mengikut citarasa pemilik.

Dal Lake bukan sahaja menjadi tempat tumpuan pelancong, malah ia juga merupakan kawasan penempatan penduduk, maka aspek kebersihan menjadi isu yang perlu ditangani oleh pihak berkuasa memandangkan tiada sistem saluran kumbahan dan pengurusan sisa-sisa pepejal yang efektif wujud di sini. Dianggarkan dalam beberapa puluh tahun lagi, Dal Lake akan mengalami pencemaran yang sangat dahsyat yang memberi impak kesihatan dan sektor pelancongan di Srinagar.

 

Keindahan bumi Khasmir - Houseboat yang terdapat di Dal Lake
Houseboat yang terdapat di Dal Lake
keindahan bumi Kashmir - Shikara. Satu-satunya pengangkutan di sekitar Dal Lake
Shikara. Satu-satunya pengangkutan di sekitar Dal Lake

 

keindahan bumi Kashmir - Roti Kashmir untuk sarapan
Roti Kashmir untuk sarapan

 

keindahan bumi Kashmir - Makanan ruji penduduk Kashmir
Makanan ruji penduduk Kashmir

 

Di sekitar Srinagar, banyak tempat menarik yang boleh dilawati dan yang menjadi pilihan utama saya ialah Indira Gandhi Memorial Tulip Garden. Memandangkan impian untuk ke Keukenhof Tulip Garden di negara Belanda belum tertunai, sekurang-kurangnya taman tulip di Srinagar ini membolehkan saya menyaksikan sendiri kecantikan dan kemeriahan warna bunga-bunga tulip. Ini merupakan salah satu keindahan bumi Kashmir yang sentiasa terbayang-bayang di kotak fikiran saya

Selain itu, kami juga telah ke Pari Mahal, yang merupakan sebuah bangunan diperbuat dari tanah liat berkonsepkan senibina Mughal. Ia mempunyai tujuh tingkat taman dan terletak di puncak gunung Zabarwan. Pemandangan sekitar Dal Lake dari Pari Mahal merupakan antara pemandangan yang tercantik yang boleh dilihat di Srinagar, walaupun keadaan yang mendung. Keindahan bumi Kashmir ini hampir setaraf dengan keindahan yang dapat dilihat di New Zealand atau Switzerland.

Selain Pari Mahal, kami juga telah ke Chashme Shahi, iaitu sebuah lagi taman Mughal yang menarik. Taman ini telah dibina oleh Maharaja Mughal ketika itu iaitu Maharaja Shah Jahan. Ia juga digelar “The Royal Spring”, memandangkan taman ini dibina di sepanjang air mata air. Selain Chashme Shahi, terdapat 2 lagi taman Mughal yang menjadi tumpuan pelancong, iaitu Nishat Bagh dan Shalimar Bagh. Namun kami tidak berkesempatan untuk ke sana memandangkan hujan telah mula turun.

 

keindahan bumi Kashmir - Bunga-bunga tulip yang sedang mekar di Tulip Garden
Bunga-bunga tulip yang sedang mekar di Tulip Garden

 

keindahan bumi Kashmir - Bunga-bunga tulip yang sedang mekar di Tulip Garden

 

keindahan bumi Kahsmir - Pari Mahal
Pari Mahal

 

keindahan bumi Kashmir - Pemandangan sekitar Dal Lake dari Pari Mahal
Pemandangan sekitar Dal Lake dari Pari Mahal

 

keindahan bumi Kashmir - Pari Mahal dilihat dari Tulip Garden
Pari Mahal dilihat dari Tulip Garden

 

Bagi yang ingin mendapatkan buah tangan untuk dibawa pulang, Srinagar merupakan tempat yang terbaik untuk mendapatkan pashmina, kain-kain bersulam, papier mache dan kotak kayu berukir. Walaupun harga yang ditawarkan agak tinggi, tawar-menawar adalah cara terbaik untuk mendapatkan harga yang lebih baik.

 

Sonamarg

Ini merupakan sebuah lagi tempat yang menjadi tarikan dan keindahan di Kashmir. Perjalanan ke Sonamarg dari Srinagar memakan masa hampir 3  jam, memandangkan jalan yang sempit dan agak berliku. Namun begitu, pemandangan sepanjang jalan tidak membosankan dan kami mengambil peluang untuk berhenti seketika dan mengambil gambar. Sungguh indah bumi Kashmir ni.

Setelah tiba di Sonamarg, langit mulai menjadi lebih gelap dan titisan hujan mulai turun. Keadaan menjadi bertambah sejuk, apatah lagi Sonamarg terletak di ketinggian 2800 meter. Namun begitu, kami masih dapat melihat keindahan lanskap di sekitar kawasan ini. Dengan bayaran sekitar Rps1200 seorang, kami telah menggunakan khidmat kuda dan menyewa baju yang lebih tebal untuk menuju ke glasier Thajiwas. Hajat kami tidak kesampaian apabila hujan telah mulai turun dengan lebat dan angin pula bertiup kencang. Mujurlah ada khemah yang didirikan para penjual yang menjual minuman panas dan snek , maka kami berteduh di situ sambil menikmati teh panas untuk meredakan kesejukan yang menggigit tulang

 

Keindahan bumi Kashmir - Sonamarg
Antara pemandangan yang menarik di sepanjang perjalanan ke Sonamarg

 

Keindahan bumi Kashmir - Sonamarg

 

Keindahan bumi Kashmir - Sonamarg

 

Keindahan bumi Kashmir - Sonamarg
Mendung di Sonamarg

 

Keindahan bumi Kashmir - Sonamarg
Kombinasi pandang rumput dan salji

 

Keindahan bumi Kashmir - Sonamarg

 

Pahalgam

Sebelum meninggalkan wilayah Jammu & Kashmir, kami berkesempatan untuk melawat Pahalgam, yang mengambil masa 2 ke 3 jam perjalanan dari Srinagar. Pahalgam juga dibeli jolokan “Little Switzerland” kerana ia menyajikan pemandangan yang amat menarik dan suasana persis di Switzerland. Sudah tentulah ia merupakan tempat yang menambahkan lagi keindahan buni Kashmir yang disebut-sebut setiap pengunjung. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini seperti menunggang kuda dan water-rafting. Sebenarnya, Pahalgam adalah destinasi yang lebih sesuai untuk menghabiskan masa santai bersama pasangan atau keluarga masing-masing. Maka dengan itu, tidak banyak aktiviti rekreasi yang disediakan di sini selain yang dinyatakan. Dan ketika kami tiba di Pahalgam, langit masih lagi mendung dan hujan juga turun mencurah-curah. Agak kecewa juga tetapi kami membuat keputusan untuk menghabiskan masa di sebuah restoran dan menikmati hidangan tradisi Kashmir.

keindahan bumi Kashmir - Walaupun mendung, kawasan sekitar Pahalgam masih lagi mempesonakan
Walaupun mendung, kawasan sekitar Pahalgam masih lagi mempesonakan

 

keindahan bumi Kashmir - Pahalgam

keindahan bumi Kashmir - Pahalgam

keindahan bumi Kashmir - Pahalgam

keindahan bumi Kashmir - Pahalgam

Pampore

Pampore pula merupakan kawasan penanaman utama saffron, iaitu sejenis herba yang boleh digunakan sebagai teh atau rempah di dalam masakan. Saffron merupakan antara rempah yang termahal di dunia, yang mana stigma kering diambil dari bunganya. Difahamkan bahawa sehektar tanah yg ditanam dengan bunga saffron, cuma sekitar 5 – 7 kilogram sahaja  penghasilan rempah saffron. Rempah ini sesuai dijadikan buah tangan. Selain itu, bagi yang ingin keindahan lanskap ketika bunga-bunga saffron berkembang dengan mekar, bulan Oktober adalah masa yang paling ideal untuk melawat Pampore.

Sebenarnya, banyak lagi tempat yang boleh dilawati dan aktiviti yang boleh dilakukan di sekitar Kashmir cuma kami tidak bercadang untuk berada terlalu lama di Kashmir memandangkan kami perlu melihat tempat-tempat lain di India. Mungkin suatu hari nanti saya akan kembali dan meneroka keunikan dan keindahan bumi Kashmir untuk jangka masa yang lebih panjang.

Things To Do

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *