Keunikan Alam di Cappadocia

keunikan-alam-di-cappadocia-picture-from-flickr-by-pedro

Penerbangan awal pagi menuju Kayseri dari Istanbul nampaknya sangat berbaloi apabila banyak tempat menarik yang memberikan pengalaman dan pengetahuan baru kepada saya. Langit biru tidak berawan yang menyambut ketibaan saya dan ibu juga membuatkan kami terkesima seketika. Angin dingin membuatkan pagi di Cappadocia begitu menyegarkan.

Lawatan ke Cappadocia ini telah diaturkan oleh agensi pelancongan tempatan di Istanbul memandangkan lawatan sehari ini tidak mungkin dapat kami dilakukan sendiri disebabkan faktor pengangkutan yang terhad di Cappadocia. Pada pendapat saya, adalah lebih baik jika dapat menghabiskan masa sekurang-kurangnya 3 hari untuk melihat dan menghayati dengan lebih mendalam setiap tarikan dan keunikan alam di Cappadocia.

Perjalanan dari lapangan terbang Kayseri ke wilayah Cappadocia mengambil masa lebih kurang satu jam. Sepanjang perjalanan, hanya tanah lapang yang dapat dilihat dan tidak banyak landskap menarik yang boleh dihayati,

Cappadocia sebenarnya adalah wilayah besar yang merangkumi wilayah-wilayah kecil seperti Nevşehir, Kayseri, Kırşehir, Aksaray, dan Niğde yang terletak di pertengahan Anatolia, Turki. Cappadocia mula terkenal disebabkan tarikan-tarikan yang dipersembahkan oleh alam semulajadi di sini. Landskap yang sangat menarik dengan struktur-struktur batuan yang ganjil disebabkan fenomena hakisan angin dan air yang berlaku ribuan tahun lamanya.

 

 

Keunikan Alam di Cappadocia - lanskap Goreme

Kesan fenomena alam yang membentuk landskap seperti ini di sekitar Goreme

Antara pekan-pekan kecil yang menjadi tarikan dan memaparkan keunikan alam di Cappadocia termasuklah Goreme, Nevsehir, Urgup, Uchisar dan Guzelyurt. Semasa lawatan kami ke sini, tumpuan kami adalah di sekitar Goreme  yang mempunyai pelbagai lanskap yang sangat menarik dan mengagumkan. Antara tarikan di Goreme termasuklah Fairy Chimneys, Open Air Museum dan Goreme National ParkKami juga berkesempatan mengunjungi tarikan-tarikan yang berdekatan Goreme seperti Rose Valley dan Underground City of Kaymakli .

Keunikan Alam di Cappadocia - Rose Valley

Rose Valley

Apabila tiba di Goreme, saya terkenang kembali rancangan kartun kegemaran saya semasa zaman kanak-kanak iaitu The Flintstones, yang mengisahkan kehidupan manusia pada zaman batu. Goreme adalah sebuah pekan yang kecil yang dipenuhi pelbagai struktur batuan yang menarik dan ada antara struktur batuan tersebut dijadikan tempat kediaman sehingga ke hari ini. Paling menarik ialah struktur batuan yang berbentuk cendawan, iaitu Fairy Chimney.

Pembentukan struktur Fairy Chimney ini adalah kesan daripada proses geologi yang bermula jutaan tahun dahulu, iaitu setelah berlakunya letusan gunung berapi yang amat besar yang memuntahkan debu dan lahar yang membentuk mukabumi Turki. Pengerasan lahar dan lapisan debu yang tebal membentuk batuan bersifat poros yang dilitupi dengan lapisan batuan basalt. Setelah itu, proses hakisan angin dan air pada batuan yang lebih lembut membentuk tiang , manakala lapisan batuan basalt yang lebih keras terhakis dengan lebih perlahan dan membentuk struktur tigasegi seperti cendawan. Difahamkan bahawa tiang tertinggi yang membentuk Fairy Chimney di wilayah Cappadocia ini mempunyai ketinggian hampir 40 meter.

Keunikan Alam di Cappadocia - Fairy Chimney

Fairy Chimney di Pasabag (Monks Valley)

Selain struktur semulajadi yang menjadi tarikan alam di Cappadocia, Fairy Chimney ini mempunyai fungsi dan sejarah yang menarik untuk dipelajari. Semasa penaklukan Roman, pelarian-pelarian beragama Kristian telah lari ke Goreme dan kemudiannya mereka mendapat idea untuk menjadikan Fairy Chimney ini sebagai tempat kediaman dan gereja setelah mengetahui struktur batuan poros yang lebih lembut boleh digali dan membentuk ruang di tengah-tengah struktur tersebut.

Selain Goreme, kawasan lain yang mempunyai Fairy Chimney termasuklah segitiga Urgup – Uchisar – Avanos, di antara Urgup dan Sahinefendi dan beberapa lagi tempat-tempat lain. Fairy Chimney di Pasabag (Monks Valley) adalah antara yang paling menarik untuk dilihat dan ada yang boleh dimasuki sekiranya ingin melihat ruang dalaman struktur tersebut.

Keunikan Alam di Cappadocia - Fairy Chimney

Fairy Chimney pernah digunakan sebagai tempat tinggal and gereja

Keunikan Alam di Cappadocia

Unta berbulu tebal di Fairy Chimney

Selain Fairy Chimney, Open Air Museum juga mempamerkan bekas biara dan gereja-gereja kecil yang dibina sekitar abad ke 10 hingga 12. Terdapat dua biara (6 – 7 tingkat setiap satu) yang dikhaskan hanya untuk biarawati dan biarawan manakala terdapat beberapa gereja yang mempunyai lukisan dinding berkonsepkan ketuhanan dalam agama Kristian. Seperti Antara gereja-gereja yang terdapat di Goreme Open Air Museum termasuklah Saint Barbara Church, Apple Church, Snake Church, Sandal Church, Dark Church dan Buckle Church. Setiap gereja mempunyai lukisan dinding yang berlainan . Kesemua struktur ini adalah semulajadi dan ruang-ruang di dalamnya dibina dengan mengorek bahagian batuan lembut.

Keunikan Alam di Cappadocia - Open Air Museum

Salah sebuah biara yang terdapat di Open Air Museum Goreme

Keunikan Alam di Cappadocia - Goreme Open Air Museum

Biara untuk biarawan

Keunikan Alam di Cappadocia

Lanskap yang terdapat bersebelahan dengan Goreme Open AIr Museum

Goreme National Park juga merupakan salah sebuah kawasan yang mempamerkan keunikan alam di Cappadocia. Taman negara ini terletak di zon gunung berapi di antara Hasan Mountain dan Erciyes Mountain. Lanskap yang terbentuk sepenuhnya melalui proses hakisan menjadikan Goreme dan kawasan sekelilingnya begitu unik dan menyerlahkan lagi kesenian zaman Bizantin. Goreme National Park juga telah digazetkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1985 disebabkan alam semulajadinya yang perlu dipelihara dan juga jaringan beberapa kota bawah tanah yang menyimpan pelbagai sejarah.

Keunikan Alam di Cappadocia - Goreme National Park, UNESCO

Goreme National Park sebagai tapak warisan dunia UNESCO

 Kaymakli Underground City juga merupakan tempat yang perlu dilawati oleh pengunjung-pengunjung ke Cappadocia. Daya penarik kota bawah tanah ini sebenarnya terletak pada sejarah di sebaliknya. Kota bawah tanah ini dibina di bawah bukit yang dikenali sebagai Citadel of Kaymakli dan mempunyai 8 tingkat, tetapi hanya 4 tingkat sahaja dibuka kepada pengunjung. Ratusan buah rumah telah dibina di sekitar terowong-terowong bawah tanah oleh penduduk Kaymakli dan ada penduduk yang menjadikan kota bawah tanah ini sebagai tempat untuk menyimpan barangan atau kandang kambing, yang boleh mereka akses melalui halaman rumah mereka. Dikatakan juga kota bawah tanah di Kaymakli ini bersambungan dengan kota bawah tanah di Derinkuyu, yang jauh lebih dalam. Dikatakan kota bawah tanah ini pernah menjadi tempat perlindungan orang-orang Kristian daripada penganiayaan askar-askar Roman.

kaymakli-underground-city-cappadocia-700x466

kaymakli-underground-city

Bahagian dalam Kaymakli Underground City (kredit foto: www.entouriste.com/otherworldly-cappadocia/kaymakli-underground-city)

Keunikan Alam di Cappadocia sememangnya membuatkan saya amat mengagumi dan mengakui kehebatan kuasa alam. Selain itu, sejarah dan maklumat yang ada untuk setiap tarikan memberikan pengetahuan yang amat berguna kepada pengembara yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan. Secara jujurnya, sesiapa sahaja yang melawati bumi Turki, haruslah  mencari peluang untuk bertandang ke wilayah Cappadocia ini kerana ia menjanjikan kepuasan yang tidak terkata.

 

Categories
Bahasa MelayuEurope
No Comment

Leave a Reply

*

*


Related Post

  • Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

    Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

    Liverpool, sebuah bandar di England yang pastinya menjadi impian setiap peminat pasukan bolasepak Liverpool untuk bertandang ke sini. Namun begitu, saya bukanlah seorang peminat bolasepak dan saya sendiri tidak...
  • Tarikan Dan Sejarah Welsh Di Cardiff

    Tarikan Dan Sejarah Welsh Di Cardiff

    Cardiff merupakan ibu negara Wales yang pada saya mempunyai suasana yang berbeza berbanding bandar-bandar lain di United Kingdom. Selain daripada tarikan yang ada di Cardiff, saya juga berpeluang mempelajari...
  • Mencari Damai di Pulau Mauritius

    Mencari Damai di Pulau Mauritius

    Penerbangan selama 7 jam dengan AirAsia X telah membawa kami ke Mauritius, sebuah pulau yang sangat indah dan menjadi destinasi impian kami sejak sekian lama. Tujuan utama kami adalah...
  • Itinerari 3 hari di kota London

    Itinerari 3 hari di kota London

    Ibukota London yang menjadi pusat pentadbiran utama England, telah menjadi destinasi pilihan utama bagi kebanyakan pelancong dari serata dunia. Pengalaman saya semasa berada di London pada pertengahan musim luruh...