Mencari Damai di Pulau Mauritius

Mencari Damai di Pulau Mauritius

Penerbangan selama 7 jam dengan AirAsia X telah membawa kami ke Mauritius, sebuah pulau yang sangat indah dan menjadi destinasi impian kami sejak sekian lama. Tujuan utama kami adalah untuk mencari damai di pulau Mauritius dan merehatkan minda setelah mengharungi rutin kerja yang agak memenatkan. Setelah mendarat di Sri Seewoosagur Ramgoolam International Airport, kami disambut oleh sahabat baik saya yang merupakan warga Mauritius. Cuaca ketika itu mendung dan kemudian hujan turun dengan lebatnya.

Tidak banyak yang dapat saya kongsikan pada hari pertama ketibaan di Mauritius, tetapi kami sempat meluangkan masa di pusat membeli-belah terbesar di Mauritius, yang terletak di Cyber City. Kami membeli sedikit bahan mentah untuk dimasak. Memandangkan kami akan menginap di kediaman sahabat saya, di Flic en-Flac, maka segala kemudahan telah tersedia dan memudahkan kami untuk memasak.

Keesokan harinya, kami memulakan lawatan ke tempat – tempat yang menarik di bahagian selatan pulau ini, dan hari seterusnya di bahagian utara.

Selatan Mauritius

Flic en-Flac merupakan antara destinasi utama bagi pengunjung-pengunjung yang inginkan suasana yang santai dan meriah. Pantai – pantai yang terdapat di sini juga sangat menarik dan menjadi tumpuan pengunjung terutamanya pada musim panas. Namun begitu, kawasan ini tidaklah begitu sesak. Pada mulanya kami menyangkakan keadaan di kawasan pantai begitu panas dan lembab, tetapi ternyata keadaan di sini lebih dingin dengan udara yang lebih kering.

Dengan menaiki kereta yang dipandu sahabat kami, kami menuju ke bahagian barat daya pulau Mauritius. Kami melalui beberapa kawasan gunung, atau bukit. Di sepanjang laluan itu juga, kami dapati tanah lapang ditanam dengan tebu secara meluas. Ketika itulah kami diberitahu bahawa tebu merupakan tanaman utama di Mauritius dan pulau ini menghasilkan gula untuk kegunaan tempatan dan dieksport ke negara – negara lain.

dsc00010

Lanskap menarik di sekitar Flic en-Flac

dsc00236

Matahari terbenam di pantai Flic en-Flac

Ganga Talao

Lawatan pertama kami bermula di Ganga Talao, yang merupakan sebuah tasik kawah, terletak pada ketinggian 1800 meter dari paras laut. Nama lain bagi kawasan ini ialah Grand Bassin dan juga berfungsi sebagai tempat suci bagi orang-orang Hindu di Mauritius. Pada hari-hari tertentu, ramai penganut agama Hindu akan melakukan upacara ziarah di kawasan ini. Udara di sini begitu dingin dan segar sekali lantaran kedudukannya di tanah tinggi. Berjalan mengelilingi tasik yang jernih dan bersih juga begitu mendamaikan.

Black River Gorge National Park.

Seterusnya, kami menuju ke anjung tinjauan yang terletak di dalam kawasan taman negara, atau Black River Gorge National Park. Dari sini, kami boleh melihat lembah dan beberapa gunung-ganang yang menyajikan lanskap yang begitu mempesonakan. Memandangkan langit begitu mendung dan hujan mulai turun, saya tidak berupaya untuk mendapatkan foto yang menarik. Namun begitu, pemandangan di sini ternyata mendamaikan, apatah lagi ketika cuaca baik dan langit yang cerah. Sebelum tiba di anjung tinjauan, terdapat gerai-gerai kecil yang menjual cenderamata khas Mauritius di sepanjang laluan. Pada mulanya kami ingin melihat – lihat barangan jualan tetapi disebabkan faktor masa dan hujan mulai turun dengan lebat, kami terpaksa membatalkan hasrat kami.

dsc00021

Pemandangan di sekitar Black River Gorge

dsc000181

 

Chamarel

Destinasi seterusnya memerlukan kami menuruni ke altitud yang lebih rendah, iaitu menuju ke Chamarel, yang terletak di daerah Riviere Noire. Perjalanan dari anjung tinjauan Black River Gorge ke Chamarel mengambil masa kira – kira 30 minit. Misi mencari damai di pulau Mauritius menjadi semakin rancak apabila kami tiba di Chamarel. Chamarel merupakan antara kawasan yang sering menjadi tumpuan pengunjung kerana terdapatnya tarikan seperti Chamarel Falls dan Seven Coloured Earth.

Sebelum memasuki kawasan tarikan utama di Chamarel ini, pelawat dikenakan bayaran sebanyak Rps 225 seorang di pintu masuk utama. Tiket masuk perlu disimpan kerana akan ada pemeriksaan tiket untuk mengakses kawasan Seven Coloured Earth. Sebelum itu, kami singgah dahulu ke anjung tinjauan di Chamarel Falls. Ia merupakan air terjun kecil yang pada pendapat saya adalah biasa-biasa sahaja. Pengunjung hanya boleh melihat air terjun tersebut dari jauh dan tidak terdapat laluan untuk turun ke kawasan kolam air terjun tersebut.

Chamarel

Air terjun di Chamarel (Chamarel Falls)

Sahabat kami meneruskan pemanduan ke Seven Coloured Earth, yang merupakan destinasi yang sangat saya nanti-nantikan. Amat mengagumkan bagaimana fenomena alam semulajadi membentuk lanskap yang terdiri daripada tanah-tanih yang mempunyai 7 tona warna merangkumi warna – warna merah, biru, kuning dan hijau. Panas matahari tidak kami hiraukan kerana asyik dengan pemandangan di sini.

dsc000461

7 Coloured Earth, kawasan tanah yang mempunyai tona warna tanah yang berbeza

Di kawasan ini juga, pengunjung boleh melihat kura-kura gergasi. Tidak dapat dipastikan umur kura-kura gergasi tersebut. Agak menghiburkan juga melihat gelagat haiwan yang pasif ini.

dsc00048

Kura-kura gergasi di Chamarel

Pantai Le Morne

Perjalanan menuju ke selatan Mauritius membawa kami ke sebuah lagi lokasi tinjauan yang mempamerkan satu lagi pemandangan yang begitu indah. Lautan yang menyajikan tona warna biru dan lanskap di sepanjang pantai Le Morne menjadikan kami terkesima seketika. Secara peribadi, inilah pemandangan laut yang paling saya gemari dan yang tercantik pernah saya saksikan.

dsc00066_1

Pemandangan yang begitu mengasyikkan

Setelah tiba di pantai Le Morne, kami berhenti sebentar untuk makan tengahari. Kami memilih untuk menikmati hidangan ikan tuna yang dipanggang bersama kentang goreng dan salad. Setelah kenyang, kami berjalan-jalan di tepian pantai untuk menghirup udara segar dan menikmati lanskap yang begitu mempesonakan. Kami merasakan rancangan kami untuk mencari damai di pulau Mauritius merupakan rancangan yang amat berbaloi. Tidak putus – putus mata kami dijamukan dengan pemandangan yang begitu mengasyikkan.

dsc00101

Le Morne Brabant 

Sebuah lagi pantai yang berbentuk lagun yang dikenali sebagai Le Morne Brabant merupakan kawasan yang terkenal dengan aktiviti luncur layang – layang. Kawasan ini sangat ideal untuk aktiviti sebegini memandangkan angin yang sentiasa bertiup dan terlindung dari ombak yang tinggi. Selain aktiviti rekreasi, kawasan Le Morne sebenarnya merupakan tapak warisan dunia UNESCO yang telah digazetkan pada tahun 2008. Ia diwartakan dengan nama rasmi iaitu Le Morne Cultural Landscape. Gunung berbatu yang mengunjur ke Lautan Hindi pernah menjadi tempat perlindungan hamba abdi, atau golong maroon. Gua – gua yang terdapat di puncak gunung ini menjadi tempat tinggal sementara bagi pelarian-pelarian. Le Morne menjadi simbol perjuangan untuk kebebasan bagi hamba-hamba yang berasal dari Afrika, India, Asia Tenggara dan India.

 

dsc001111

Gunung yang menjadi tempat perlindungan oleh hamba-hamba abdi sekitar abad 18 ke 19.

dsc00113

Pantai Le Morne Brabant , pusat tumpuan untuk aktiviti laut seperti luncur layang-layang dan ski air

dsc001161

 

Utara Mauritius

Pada hari berikutnya, sahabat kami sekali lagi meluangkan masa bersama kami dan membawa kami meninjau keindahan di bahagian utara Mauritius, seterusnya membantu kami untuk mencapai matlamat dalam mencari damai di pulau Mauritius. Sebelum tiba di kawasan utara, kami melalui bandar Port Louis, tetapi kami tidak berkesempatan untuk melihat-lihat sekitar bandar ini

Grand Bay (Grand Baie)

Antara tempat yang harus dikunjungi di utara Mauritius ialah Grand Bay, yang menyajikan pemandangan pantai dan laut yang begitu indah. Lautan biru dan cuaca cerah menceriakan lawatan kami. Sekali lagi, matlamat kami untuk mencari damai di pulau Mauritius tercapai. Jika dibandingkan dengan Flic en-Flac, Grand Bay adalah lebih meriah dan menerima lebih ramai pengunjung disebabkan pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini.

dsc00161

Pantai La Cuvette di Grand Bay

dsc00162

Pereybere

Pantai Pereybere juga menyajikan pemandangan yang indah. Kami berhenti makan tengahari di sini memandangkan tedapat banyak pilihan makanan di sini.

Pantai Cap Malheureux

Sebuah lagi pantai di kawasan Grand Bay, iaitu Cap Malheureux, membolehkan kami bersantai dan menikmati udara segar tanpa perlu bersesak-sesak. Mandi -manda, berenang dan berjalan-jalan di sepanjang pantai merupakan aktiviti yang ideal untuk dilakukan di sini. Pantai ini juga merupakan tempat permulaan bagi katamaran dan bot-bot laju yang membawa pengunjung ke pulau-pulau kecil seperti Flat Island, yang terkenal dengan rumah api, Round Island, sebuah santuari untuk haiwan tempatan dan juga Coin de Mire. Beberapa meter dari pantai, terdapat sebuah gereja kecil yang mempunyai atap berwarna merah, yang dinamakan La Notre Dame Auxiliatrice. Gereja ini seringkali menjadi objek pada poskad-poskad yang dijual di Mauritius.

dsc00197

Flat Island (kiri) dan Round Island (kanan) dilihat dari pantai Cap Malheureux

dsc00208_1

dsc00209_1

dsc00220_1

Gereja La Notre Dame Auxiliatrice

Tiba masa untuk kami pulang ke Flic en-Flac dan mengakhiri lawatan singkat kami ke Mauritius. Terdapat banyak lagi tempat-tempat yang boleh kami lawati tetapi memandangkan masa tidak begitu mengizinkan. Nampaknya kami perlu mengatur lawatan semula ke Mauritius untuk meninjau-ninjau tarikan di Port Louis, bahagian timur dan tenggara pulau yang indah ini. Secara umumnya, tidak sukar untuk mencari damai di pulau Mauritius yang mempesonakan ini.

Categories
AfrikaBahasa MelayuOutdoors Activity
No Comment

Leave a Reply

*

*


Related Post