Menjejaki Annapurna Base Camp

Sebelum memulakan perjalanan dari Deurali, cuaca sudah pun mula mendung dan awan kelabu mula melitupi langit. Sangkaan saya, tidak mungkin hujan akan turun tetapi tiada pula tanda-tanda langit akan kembali cerah. Dan beberapa minit kemudian, rintik-rintik hujan mulai turun dan ketika itu teringat pula bahawa saya tidak membawa ponco. Mujurlah saya membawa baju penahan angin yang kalis air, walaupun saya tidak dapat menutupi keseluruhan tubuh. Semakin kami menghampiri MBC, kesejukan semakin terasa, ditambah pula dengan air hujan yang membasahi muka dan tangan saya. Mujurlah baju penahan angin tersebut mampu menahan haba badan saya, walaupun tapak tangan dan kaki saya terdedah pada angin dan air hujan. Kira-kira sejam perjalanan sebelum tiba di MBC, kami terserempak dengan seorang penunjuk arah yang datang dari arah MBC dan memberitahu kami ribut salji sedang berlaku di MBC. Betapa risaunya hati saya, tuhan saja yang tahu kerana saya kurang mempunyai daya ketahanan yang tinggi terhadap angin kencang dan kesejukan yang melampau. Kami tidak mempunyai pilihan lain selain meneruskan perjalanan. Titisan-titisan air hujan mula bertukar menjadi serpihan-serpihan ais. Semakin jauh kami berjalan, semakin banyak pula serpihan ais yang turun, seperti hujan yang semakin lebat. Sempat pula saya menghayati pemandangan sekeliling dan berhajat untuk memotret tetapi memandangkan kamera saya bukanlah kalis air, maka terbantut niat saya. Ternyata misi menjejaki Annapurna Base Camp ini penuh dengan cabaran dan ia tidak hanya menguji ketahanan fizikal semata-mata, malah ketahanan minda juga perlu ada.

Annapurna Base Camp - Macchapuchhre Base Camp
Kawasan berisiko tanah runtuh dan runtuhan salji.
Annapurna Base Camp
Lanskap apabila menghampir MBC
Annapurna Base Camp
Air terjun bertingkat menuju MBC semasa hujan berhenti buat seketika

Memandangkan kami akan berada pada altitud melebihi 3000 meter, kami harus memerhatikan tanda-tanda AMS, atau Acute Mountain Sickness, yang boleh membahayakan nyawa jika langkah-langkah keselamatan tidak diambil. AMS merupakan keadaan yang mana pendaki akan mengalami pening dan muntah semasa berada pada altitud yang tinggi. Sekiranya ada tanda-tanda AMS, pendaki harus turun ke altitud yang lebih rendah sehingga tanda-tanda AMS hilang, dan memulakan semula pendakian. Ada yang menyatakan AMS biasanya berlaku di altitud melebihi 4000 meter, dan ada pula menyatakan ia boleh berlaku di sekitar altitud 2000 meter. Maklumat mengenai AMS perlu disampaikan kepada semua peserta yang bukan sahaja ingin menjejaki Annapurna Base Camp, malah kesemua ekspedisi hiking ke kawasan yang mempunyai altitud yang tinggi

Setelah mengharungi perjalanan yang menarik ini, kami tiba di MBC pada jam 3.30 petang. Sebenarnya, ribut salji yang dikatakan bukanlah seperti yang saya bayangkan. Ia hanyalah keadaan hujan salji biasa dan bukan ribut. Apapun, saya lega apabila tiba di MBC kerana saya berasa penat dan mengantuk. Setelah hujan berhenti, saya keluar dari bilik penginapan dan meninjau-ninjau keadaan sekitar MBC. Puncak Machhapuchhre pula terletak elok di belakang tempat penginapan kami. Kami lakukan apa yang perlu untuk hari berikutnya dan tidur awal kerana kami perlu bangun lebih awal dari biasa.

Annapurna Base Camp - MBC
Pemandangan sekitar MBC

 

Annapurna Base Camp - Macchacpuchhre Base Camp
Puncak Machhapuchhre di belakang tempat penginapan kami

Hari kelima merupakan hari yang sangat mengujakan bagi kami. Kami bangun seawal 4 pagi kerana kami ingin menjejaki Annapurna Base Camp lebih awal untuk menyaksikan matahari terbit. Kami seharusnya bergerak ke ABC pada jam 5 pagi tetapi memandangkan penunjuk arah kami tidak dapat bangun awal, maka kami telah memulakan perjalanan sekitar jam 6. Perjalanan ke ABC mengambil masa 2 jam tetapi menjadi lebih panjang kerana saya banyak berhenti untuk berehat dan meluangkan masa untuk mengambil gambar pemandangan yang sangat indah. Kami telah melalui sebuah glasier untuk ke ABC dan perjalanan tidaklah semudah yang disangkakan kerana licin dan berisiko untuk tergelincir. Apabila matahari mula muncul, kesejukan yang mencengkam tubuh mulai hilang.

Annapurna Base Camp
Laluan glasier ke ABC

Setelah melepasi kawasan glasier, saya menjadi teruja dan sangat mengagumi pemandangan di sepanjang jalan. Seronok melihat bunga-bunga primrose (Black Sepal Primrose) tumbuh melata. Saya sangat sukakan warna ungu dan bunga-bunga ungu ini amat menambat hati saya. Menjadi kebiasaan saya untuk memotret tumbuhan yang tidak pernah saya lihat. Begitu juga halnya dengan haiwan, terutamanya unggas. Saya terlihat seekor burung biru yang sedang mencari makanan. Nama saintifiknya Grandala coelicolor. Agak sukar juga untuk memotret burung ini, lebih-lebih lagi tanpa lensa yang sesuai. Bagi saya, menjejaki Annapurna Base Camp bukanlah sekadar untuk melihat keindahan di sekitar kem ini, tetapi juga ingin melihat sendiri flora dan fauna yang ada di sini.

Annapurna Base Camp - Black Sepal Primrose
Black Sepal Primrose tumbuh melata di sepanjang tebing glasier menuju ke ABC

Annapurna Base Camp

Annapurna Base Camp
Antara lanskap yang dipamerkan alam
Annapurna Base Camp - Grandala coelicolor
Grandala coelicolor, burung biru yang menjadi buruan lensa kamera saya

Setibanya di ABC, kami melihat-lihat keadaan sekeliling, bergambar dan menghayati keindahan sekitarnya. Sebelum turun semula ke MBC, kami bersarapan dahulu. Sekeping gambar memberikan seribu cerita, maka biarlah gambar berbicara.

Annapurna Base Camp
Antara puncak yang terdapat di pergunungan Annapurna
Annapurna Base Camp
Memorial untuk mengingati mereka yang terbunuh dalam misi menawan puncak Annapurna
Annapurna Base Camp
Lembah dan puncak Annapurna
Annapurna Base Camp
Pergunungan Annapurna dianggap suci oleh penduduk Nepal
Annapurna Base Camp
Kain-kain yang digunakan dalam upacara sembahyang digantung sebagai tanda kesucian pergunungan Annapurna
Annapurna Base Camp
Lanskap yang sangat saya gemari

Annapurna Base Camp

Annapurna Base Camp
Kabin di Annapurna Base Camp. Pastinya sangat menyejukkan pada waktu malam

Misi menjejaki Annapurna Base Camp telah pun kami capai namun berat sekali kaki untuk beransur pergi dari ABC. Kami teruskan perjalanan meninggalkan ABC dan kembali ke MBC untuk mengambil barang-barang kami. . Setelah mendaftar keluar, kami menuju ke Dovan semula. Perjalanan ke Dovan  menjadi lebih mudah, walaupun hujan menjadi lebih lebat. Terserempak pula dengan orang-orang Malaysia dan sempat pula bertukar-tukar maklumat mengeni perjalanan kami dalam masa yang singkat. Setibanya di Dovan, kami berehat secukupnya kerana masa perjalanan hari ini lebih panjang berbanding hari sebelumnya.

Hari keenam pula, kami menuju ke Jhinudanda melalui Chhomrong.Kami berhenti rehat di Chhomrong sebelum  memulakan perjalanan menuruni bukit yang sangat curam. Seperti biasa, lutut saya berasa  tidak selesa apabila menuruni bukit. Namun begitu, saya gagahkan juga untuk terus berjalan agar tidak ketinggalan terlalu jauh di belakang. Kami tiba awal di Jhinudanda tetapi menunggu agak lama kerana ketiadaan bilik penginapan. Nasib kami agak baik kerana pada saat-saat akhir, ada pembatalan tempahan bilik. Setelah berehat, kami menuju ke kolam air panas yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari penginapan kami. Pengunjung perlu membayar 50 Rupee untuk ke kolam air panas tersebut. Kami berhajat untuk merendamkan diri dalam kolam dengan harapan dapatlah melegakan otot-otot badan. Terbantut pula hajat kami apabila terlalu ramai pengunjung dan kami berasa kurang selesa, maka kami mengambil keputusan untuk pulang ke tempat penginapan dan berehat.

Untuk hari ketujuh, kami bercadang untuk menginap di Syauli Bazar melalui New Bridge, Kyume dan Siwai. Walaupun perjalanan kami tidak sesukar hari-hari sebelumnya, laluan pada hari ini agak memenatkan dan jari-jari kaki saya melecet teruk. Cuaca yang panas juga menjadi penyebab mengapa saya hampir mahu mengalah. Perjalanan sepatutnya menjadi lebih mudah selepas Siwai, kerana kami melalui jalan rata yang dilalui kenderaan-kenderaan pengangkutan. Tetapi tidak bagi saya apabila harus menahan kesakitan dan berjalan dengan perlahan. Walaupun kami sebenarnya boleh memilih untuk menaiki kenderaan seperti bas atau jip dari Siwai ke Syauli Bazar atau terus ke Nayapool, kami tidak berhajat untuk berbuat demikian memandangkan kami tidak berhasrat untuk menamatkan perjalanan kami begitu saja. Saya akur dengan keadaan saya yang tidak begitu berstamina, tetapi inilah peluang untuk menguji kekentalan mental dan fizikal saya.

Hari terakhir perjalanan kami  begitu mudah dan masa perjalanan adalah kira-kira 2 jam 30 minit, dari Syauli Bazar ke Birethanti, dan seterusnya ke Nayapool. Sayu sekali apabila meninggalkan Nayapool kerana terbayang-bayang pengalaman yang sangat menarik ketika menuju Annapurna Base Camp. Semuanya berbaloi dan saya menyimpan hajat untuk kembali ke sini suatu hari nanti. Annapurna Base Camp pasti tidak akan mengecewakan mereka yang gemarkan keindahan alam.

Bagi mereka yang berhajat untuk merasai pengalaman menjejaki Annapurna Base Camp, saya mengesyorkan Mountain World Treks dan menghubungi Saligram Aryal untuk mendapatkan khidmat professional dengan kos yang sangat berpatutan.

 

Outdoors Activity

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *