Musim Panas di Hobart (Bahagian 1)

Australia merupakan sebuah negara yang mempunyai daya tarikan tersendiri. Ia merupakan negara yang mempunyai pulau terbesar di muka bumi dan mempunyai khazanah alam yang terpelihara rapi. Mungkin ramai yang telah menjejakkan kaki di kota-kota besar seperti Sydney, Melbourne, Perth dan Brisbane lantaran kemeriahan dan tarikan-tarikan yang terdapat di kota-kota tersebut. Namun begitu, saya juga telah berkesempatan untuk menghabiskan masa di Hobart, yang merupakan bandar utama di wilayah Tasmania.

Seperti pengembaraan-pengembaraan sebelum ini, saya semestinya memilih AirAsia sebagai pengangkutan udara yang sememangnya menawarkan harga yang rendah terutamanya ketika promosi dilancarkan. Saya telah mengambil penerbangan dari Kuala Lumpur ke Melbourne, dan kemudian mengambil penerbangan Virgin Australia dari Melbourne ke Hobart. Hobart mempunyai terminal lapangan terbang yang kecil maka tidak banyak masa yang diambil untuk mendapatkan bagasi dan beredar dari terminal lapangan terbang. Pada asalnya, saya membayangkan kesesakan di terminal lapangan terbang, memandangkan saya telah membuat perancangan untuk mengharungi musim panas di Hobart. Musim panas adalah musim yang sangat sibuk di kebanyakan tempat di Australia memandangkan ramai pelancong dari negara-negara yang mengalami musim sejuk ingin lari dari kesejukan yang agak merimaskan. Namun begitu, saya tidak menjangka bahawa Hobart tidak sesibuk bandar-bandar besar lain di Australia.

Setibanya di bandar Hobart, saya telah mendaftar masuk ke Central City Backpackers yang terletak di tengah-tengah bandar Hobart. Selepas mendaftar masuk, saya mengambil kesempatan untuk meninjau-ninjau kawasan berdekatan dan membeli sedikit makanan untuk dijadikan bekal pada hari-hari berikutnya. Keesokan harinya, saya memulakan aktiviti seawal 8.30 pagi dan mengambil angin pagi dengan berjalan-jalan di sekitar kawasan dermaga untuk melihat-lihat sekiranya ada objek menarik yang boleh dijadikan subjek fotografi. Keadaan pada waktu pagi agak dingin dan menyelesakan.

Saya menuju ke Pusat Pelancong dan Maklumat Tasmania (Tasmania Tourist & Information Center) untuk menyertai lawatan sekitar bandar Hobart yang dikendalikan oleh Discovery Australia. Penulis berkesempatan untuk melawat Cascades Female Factory, Cascade Brewery, Rossny Hill Lookout Point dan Royal Tasmanian Botanical Garden.

Cascades Female Factory merupakan bekas tapak bangunan yang menempatkan bandua-banduan wanita dari England. Ia merupakan salah sebuah penempatan banduan dari 11 buah penempatan banduan yang terdapat di sekitar Australia, dan telah digazetkan sebagai tapak warisan dunia UNESCO pada tahun 2010. Maklumat lanjut mengenai Cascades Female Factory boleh dirujuk di laman web www.femalefactory.org.au. Harga tiket bermula dari AUD 5 untuk orang dewasa.

DSC_2180
Salah sebuah tapak Warisan Dunia UNESCO berhampiran bandar Hobart

 

DSC_2199
Tasman Bridge yang dilihat dari Rossny Hill

 

DSC_2193
Bandar Hobart yang dilihat dari Rossny Hill

 

Berhampiran Cascades Female Factory, terdapat sebuah tempat pembuatan wain iaitu Cascade Brewery, yang merupakan kilang pembuatan wain yang tertua di Australia. Dari Cascade Brewery, saya dibawa ke Rossny Hill untuk melihat bandar Hobart. Pemandangan dari Rossny Hill amat menarik dan saya mengambil beberapa minit untuk menghirup udara segar dan berlegar-legar di sekitar Rossny Hill.

Ketika menghayati pemandangan, saya melihat ada kepulan-kepulan asap di bahagian selatan Hobart dan Derwent River. Rupa-rupanya, telah berlaku kebakaran belukar di kawasan itu. Dan pada ketika itulah saya diberitahu  bahawa sebuah lagi tapak warisan dunia UNESCO, iaitu Port Arthur, terletak di kawasan itu. Ini bermakna, saya terpaksa membatalkan rancangan saya untuk menjejaki Port Arthur kerana saya juga diberitahu oleh seorang penduduk tempatan bahawa Port Arthur ditutup kepada pengunjung buat sementara waktu. Agak terkilan juga rasanya kerana Port Arthur merupakan tempat yang ingin sekali saya kunjungi lantaran cerita-cerita ‘misteri’ yang saya dengari. Kebakaran belukar biasa berlaku ketika musim panas di Hobart dan juga di kawasan sekitar Tasmania. Udara menjadi sangat kering dan percikan api yang kecil mampu menyebabkan kebinasaan hutan belukar yang agak teruk.

Selepas berkunjung ke Rossny Hill, saya dibawa ke Royal Tasmanian Botanical Garden. Melawat taman-taman botani semestinya menjadi minat saya kerana saya amat sukakan tumbuh-tumbuhan berbunga dan herba. Tidak ada sebarang caj dikenakan untuk memasuki taman ini tetapi sumbangan dalam bentuk syiling amat dialu-alukan. Taman ini terbahagi kepada 12 seksyen yang terdiri daripada tumbuhan tempatan dan koleksi tumbuhan dari luar negara seperti Jepun, New Zealand dan Cina.

DSC_2209DSC_2215DSC_2218

 

 

 

 

 

 

 

Terdapat kafe kecil yang menjual minuman, pastri dan sandwic serta ada juga kedai yang menjual cenderahati. Luas kawasan taman ini agak besar tetapi saya tidak mempunyai masa yang banyak kerana saya harus kembali ke bandar Hobart kerana perlu bergegas untuk ke Richmond pula.

Dari Hobart, saya mengambil bas ke perkampungan Richmond. Masa yang diambil untuk sampai ke Richmond adalah lebih 45 minit. Saya tidak begitu mengetahui tarikan di perkampungan Richmond tetapi setelah melawat pekan kecil ini, saya dapati ia mempunyai tarikan yang tersendiri.

Richmond merupakan pusat perhentian ketenteraan dan pusat tahanan yang menghubungkan Hobart dan Port Arthur. Ia terletak di lembah Coal River.  Perkampungan ini terkenal dengan seni bina Georgia yang menarik. Kebanyakan pelancong akan ke sini untuk menikmati makanan dan wain tempatan. Saya sempat merasa makanan yang hanya terdapat di Richmond, curried scallop pie, iaitu pai berinti kekapis yang dimasak dengan rempah kari. Sangat lazat!!

DSC_2230
Pemandangan sepanjang perjalanan dari Hobart ke Richmond

 

DSC_2267
Pemandangan di Richmond yang kerap menjadi subjek lensa kamera

 

DSC_2243
Sebahagian bangunan di pusat tahanan banduan Richmond

 

DSC_2294
Pemandangan di sekitar perkampungan Richmond

Sebelum pulang ke Hobart, saya telah melawat pusat tahanan lama Richmond. Pusat tahanan ini dibina pada tahun 1825 untuk menempatkan

Nampaknya hari kedua saya di Hobart telah digunakan dengan sebaiknya dan sedikit-sebanyak membolehkan saya mendapatkan sedikit pengetahuan mengenai Hobart dan kawasan sekitarnya. Hari ketiga dan keempat akan saya kongsikan di bahagian 2.

 

Things To Do

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *