Musim Panas di Hobart (Bahagian 2)

Hari ketiga saya di Hobart telah dipenuhi dengan aktiviti yang menyeronokkan. Memandangkan saya amat menyukai perkampungan Richmond, saya telah mengambil bas ke sana pada waktu pagi dan bersarapan di sana. Selepas bersarapan, saya berjalan-jalan di sekitar perkampungan ini dan melawati bangunan-bangun tinggalan sejarah. Agak jauh juga langkah kaki saya namun dengan adanya kamera saya sebagai teman setia, kepenatan itu tidak pula terasa. Musim panas di Hobart sebenarnya memberikan pemandangan yang menarik kerana pancaran matahari yang cukup ideal untuk memberikan kesan kuning keemasan di kawasan-kawasan tertentu.

Setelah puas menghabiskan masa di Richmond, saya meneruskan aktiviti hari ini dengan melawati Bonorong Wildlife Centreyang menempatkan haiwan-haiwan yang hanya terdapat di Australia seperti Tasmanian Devil, koala, wallaby, wombat dan sebagainya. Harga tiket masuk ialah AUD 26, agak mahal tetapi saya merasakan ia amat berbaloi memandangkan pelawat-pelawat pusat hidupan liar ini boleh melihat haiwan-haiwan unik ini dengan lebih dekat.

Pengalaman saya yang saya rasakan amat berharga apabila saya berpeluang untuk melihat Tasmanian Devil buat kali pertama. Rupanya amatlah comel dan amat melucukan melihat gelagat mereka semasa bermain. Tetapi, lain pula keadaanya apabila tiba waktu makan. Reaksi mereka agak agresif apabila berebutkan ketulan-ketulan daging yang diberikan oleh penjaga haiwan berkenaan.

Tasmanian Devil merupakan antara haiwan yang tergolong dalam spesis terancam. Kemusnahan habitat  dan juga kecenderungan untuk mendapat penyakit Facial Tumor Disease (sejenis tumor yang berlaku pada bahagian muka) adalah antara punca bilangan haiwan ini berkurangan. Mujurlah ada pusat perlindungan seperti ini yang mampu mengawal haiwan ini dari diancam kepupusan.

Musim Panas di Hobart
Pintu masuk ke Bonorong Wildlife Centre
Musim Panas di Hobart
Tasmanian Devil, hanya terdapat di Tasmania
Musim Panas di Hobart
Masa untuk makan
Musim Panas di Hobart
Kekenyangan
Musim Panas di Hobart
Kanggaru yang amat jinak dan sudah terbiasa dengan kehadiran manusia
Musim Panas di Hobart
Jangan terkeliru. Ini ialah wallaby, bukan kanggaru.

Musim Panas di Hobart

Setelah puas melihat gelagat haiwan-haiwan unik ini, saya kembali ke bandar Hobart untuk menyertai aktiviti ke Mount Wellington. Setelah makan tengahari, saya menyertai semula kumpulan yang akan melawati Mout Wellington. Perjalanan ke puncak Mount Wellington mengambil masa kurang dari 45 minit dari bandar Hobart.

Sebelum menuju ke puncak, saya dan beberapa pelancong yang turut menyertai aktiviti ini telah dibawa untuk berjalan ke tapak Sphinx Rock lookout pointKawasan ini terletak di dalam lingkungan Wellington Park. Selain Sphinx Rock, terdapat beberapa lagi trek yang dibuka kepada umum, dari tahap kesukaran yang rendah sehhinggalah yang sukar. Untuk ke Sphinx Rockperjalanan adalah amat mudah dan mengambil masa 45 minit. Di Sphinx Rock, pengunjung dapat melihat struktur Mount Wellington dan juga pemandangan bahagian timur bandar Hobart.

Musim Panas di Hobart
Melalui denai ke Sphinx Rock lookout point
Musim Panas di Hobart
Pemandangan Mt. Wellington dari Sphinx Rock
Musim Panas di Hobart
Pemandangan bandar Hobart dari Timur
Musim Panas di Hobart
Beri liar

Setelah melawat Sphinx Rockperjalanan diteruskan menuju ke puncak Mount Wellington. Langit telah mulai mendung dan angin kuat mula bertiup di puncak Mount Wellington. Mujurlah saya membawa jaket sebagai persediaan untuk menghadapi cuaca yang tidak menentu, saya tidak gemarkan cuaca yang sejuk, dan lebih-lebih jika ada angin yang bertiup kuat. Langit yang mula berwarna kelabu menjadikan keadaan sekeliling di puncak Mount Wellington suram. Namun begitu, pemandangan ke arah bandar Hobart masih lagi mempunyai tarikan yang tersendiri. Dari sini juga saya dapat melihat kebakaran hutan yang sedang berlaku di kawasan Port Arthur. Di puncak Mount Wellington, pengunjung juga boleh menikmati pemandangan dari sebuah kafe yang terletak di pusat perkhidmatan pelancong.

Memandangkan hujan sudah mula turun, setiap pengunjung mula beredar dari puncak Mount Wellington. Seronok juga dapat melawati tarikan-tarikan utama di sekitar bandar Hobart. Saya juga telah menggunakan perkhidmatan daripada Tours Tasmania bagi memastikan saya dapat tiba ke setiap destinasi pada hari ini.

Musim Panas di Hobart
Dari puncak Mount Wellington

Musim Panas di Hobart

Masuk hari ke-empat di Hobart, saya berasa sangat teruja untuk melawati Salamanca Marketiaitu sebuah pasar yang diadakan pada setiap hari Sabtu pagi, berdekatan dengan dermaga Hobart. Di Salamanca Market, terdapat lebih daripada 300 gerai-gerai jualan yang menjual pelbagai barangan, dari hasil ladang, makanan, kraftangan, pakaian dan macam-macam lagi. Beraneka barangan jualan menjadikan setiap pengunjung rambang mata.

Kebanyakan penjual-penjual di Salamanca Market adalah penduduk tempatan yang sangat peramah. Saya amat berkenan dengan bunga-bungaan segar dan tumbuh-tumbuhan yang dijual di sini, namun terkilan pula kerana saya tidak dapat membelinya untuk dibawa pulang ke Malaysia. Untuk menghilangkan rasa terkilan itu, saya membeli beberapa kraftangan unik dan cenderahati sebagai tanda kenangan melawati Salamanca Market ini.

Musim Panas di Hobart
Jambangan bunga segar

Musim Panas di Hobart

Musim Panas di Hobart

Selain barangan jualan, terdapat juga persembahan muzik dan pertunjukan bakat daripada anak-anak muda. Memang tidak dinafikan, bakat yang mereka ada itu membolehkan mereka untuk pergi lebih jauh dan boleh menjadikan mereka terkenal. Muzik yang dipersembahkan merupakan muzik ciptaan mereka sendiri. Selain pemuzik, pengunjung juga dihiburkan dengan pertunjukan bakat yang saya kirakan kombinasi pertunjukan akrobatik dan lawak jenaka.

051
Lagaknya seperti dia tidak bertulang
072
Pedang yang dimasukkan ke dalam mulut….amat mengerikan!!

077    089

Tanpa saya sedari, saya telah menghabiskan masa selama 3 jam di Salamanca Market. Untuk tidak mensia-siakan masa yang masih berbaki untuk hari ini, saya telah berjalan kaki dari Salamanca Market ke Battery PointPada mulanya, saya agak tertanya-tanya mengapa kawasan ini dipanggil “bateri”. Setelah membaca sedikit informasi mengenai Battery Point, barulah saya tahu “Battery” itu merujuk kepada “battery of guns” yang membawa maksud “sekumpulan senjatapi yang dihimpunkan bersama untuk tujuan taktikal”. Jadi logiknya, Battery Point sebenarnya merupakan kawasan yang telah diwujudkan untuk tujuan pertahanan sepanjang persisiran Hobart. Battery Point merupakan sebuah kawasan perumahan yang berprestij di mana kebanyakan rumah telah dibina sekitar tahun 1800 dan masih lagi mengekalkan senibina kolonial.

Sebenarnya, terdapat pelbagai tempat menarik yang boleh dilawati dan pelbagai aktiviti boleh dilakukan ketika musim panas di Hobart memandangkan banyak festival dan acara yang berlangsung pada musim ini. Antara festival yang diadakan seperti “The Taste of Tasmania“, iaitu festival makanan dan wain, “Myer Hobart Christmas Pageant“, “Australian Wooden Boat Festival dan pelbagai lagi acara yang tahunan setiap kali tibanya musim panas di Hobart. Maklumat mengenai festival dan acara tahunan yang bakal diadakan boleh diperolehi dari laman web rasmi Hobart.

Berjalan di bawah matahari ketika musim panas di Hobart bukanlah sesuatu yang menyelesakan. Terasa perit juga kulit saya. Tambahan pula, saya tidak mengenakan losyen pelindung matahari. Mujurlah ada tempat-tempat yang mana saya boleh berlindung untuk seketika dari pancaran matahari.

028
Perumahan di Battery Point
034
Gereja Anglikan St. George di Battery Point

Musim panas di Hobart semestinya merupakan antara pengalaman pengembaraan saya yang paling menarik dalam mengenali bandar-bandar utama di Australia. Keunikan flora dan fauna serta kisah-kisah sejarah yang menark menjadikan bandar ini agak berbeza berbanding bandar-bandar besar yang lain di Australia. Mudah-mudahan akan ada peluang untuk menjejakkan kaki ke sini lagi, barangkali pada musim sejuk atau musim bunga.

Bahasa Melayu, Outdoors Activity, Things To Do

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *