Peninggalan Islam di Andalusia

Alhambra

Menjejakkan kaki ke Sepanyol merupakan antara pengalaman pengembaraan saya yang sentiasa tersemat di kotak fikiran saya. Tidak sabar rasanya untuk kembali ke negara ini dan menghayati budaya dan tarikan yang ada. Sepanyol mempunyai beberapa bandar yang saya rasakan mempunyai keindahan dan keunikan yang tersendiri. Sudah semestinya, wilayah Andalusia merupakan wilayah yang paling saya gemari disebabkan beberapa faktor. Walaupun wilayah ini merupakan tempat asal tarian flamenco dan juga bullfighting , menghayati peninggalan Islam di Andalusia merupakan tujuan utama saya ke sini.

Dua bandar yang menjadi tumpuan saya untuk melihat sendiri peninggalan Islam di Andalusia adalah Granada dan Cordoba. Kedua-dua bandar ini juga mempunyai beberapa tarikan yang telah digazetkan sebagai tapak warisan dunia UNESCO dan berkait rapat dengan perkembangan Islam yang bermula sekitar tahun 711.

Granada merupakan bandar yang terletak di kaki pergunungan Sierra Nevada. Bandar ini juga lebih aman dan kurang sesak jika dibandingkan dengan bandar-bandar lain di wilayah Andalusia. Walaupun pemerintahan Islam di Andalusia berakhir sekitar tahun 1492, dan juga berlakunya gerakan Kristianisasi secara besar-besaran pada abad ke-16, elemen-elemen Islam masih jelas kelihatan di Granada. Banyak premis perniagaan yang dimiliki oleh orang-orang Islam, barangkali berasal dari Afrika Utara atau Timur Tengah.

Alhambra merupakan istana dan kubu yang dibina pada abad ke-11. Fungsi Alhambra pada ketika itu adalah sebagai pusat ketenteraan. Pada abad ke-13, kediaman diraja, pegawai-pegawai tinggi dan askar-askar elit dibina setelah ketibaan pemerintah monarki pertama ketika era dinasti Nasrid, iaitu Mohammed I ibnu Nasr. Tiket masuk ke Alhambra berharga 14 euro.

Peninggalan Islam di Andalusia - Generalife, taman yang berkonsepkan Islam Moor yang berhadapan dengan istana Alhambra

Generalife, taman yang berkonsepkan Islam Moor yang berhadapan dengan istana Alhambra

DSC_0828

Pergunungan Sierra Nevada dari Alhambra

Apa yang amat saya kagumi mengenai Alhambra ini ialah, kesegaran senibina Islam Moor di sini dipelihara sebaik-baiknya dan dan setiap ruang, dewan dan taman deperincikan dengan konsep senibina dan kaligrafi Islam yang sangat indah. Terdapat juga struktur yang dibina bukan berkonsepkan Islam terutamanya selepas kejatuhan empayar Nasrid, contohnya Palace of Charles V, Lindaraxa’s Garden, gereja Santa Maria de la Alhambra dan beberapa lagi bangunan lain.

Selain itu juga, pergunungan Sierra Nevada yang menjadi pusat tumpuan peminat sukan ski juga amat menakjubkan dan menjadi salah satu faktor peninggalan Islam di Andalusia ini sangat gah suatu ketika dulu.

DSC_0801

Istana Nasrid yang dilihat dari Generalife

DSC_0865

Court of Myrtles atau Laman Myrtles

DSC_0879

Bahagian dalam kubah di Hall of the Two Sisters yang sangat menarik

Tarikan utama di istana Alhambra ini adalah seperti taman Generalife, kubu Alcazaba, istana diraja Nasrid, diikuti dengan beberapa dewan dan ruangan terbuka seperti tempat bersiram diraja (Royal Bath), Ambassadors Hall, Hall of the Two Sisters, Hall of Mullioned Windows, Court of Lions, Hall of Justice dan lain-lain lagi. Pembinaan kesemua struktur dan ruangan adalah secara berperingkat dan mengikut kehendak pemerintah Islam pada ketika itu. Contohnya, kubu Alcazaba dibina dan Court of Lions dibina semasa pemerintahan Sultan Mohammed V, dari tahun 1354 hingga 1391 manakala Gates of Justice dan Comares Palace dibina semasa pemerintahan Sultan Yusuf  I (1333 – 1354). Taman Generalife pula dibina seawal pembinaan Alhambra namun begitu telah melalui beberapa perubahan dan taman yang sedia ada pada hari ini tidak dapat dipastikan pula pereka bentuk dan hiasan taman ini.

Selain Alhambra, Albayzin juga merupakan satu lagi peninggalan Islam di Andalusia yang terletak berhadapan dengan kawasan Alhambra. Sehingga ke hari ini, Albayzin masih lagi mempunyai pengaruh Islam yang agak kuat. Semasa pemerintahan Islam Moor, Albaycin mempunyai kira-kira 30 buah masjid. Masjid-masjid ini dimusnahkan dan digantikan dengan gereja-gereja semasa penaklukan semula oleh monarki Kristian.

DSC_0903

Pemandangan Albayzin dari Alhambra

Dari Alhambra, perjalanan seterusnya menuju ke Cordoba untuk melihat sendiri sebuah lagi peninggalan Islam di Andalusia yang juga mempunyai cerita tersendiri, iaitu The Great Mosque of Cordobaatau nama-nama lainnya Mosque-Cathedral of Cordoba dan The Mezquita. Masjid ini juga mempunyai nama yang digunakan khusus dalam bidang theologi Kristian iaitu Cathedral of Our Lady of The AssumptionPada mulanya, saya agak terkeliru dengan nama-nama yang diberikan kepada masjid ini, terutamanya apabila ada yang menyebut masjid ini sebagai gereja besar. Tetapi, setelah meneliti sejarah masjid ini, tidak hairanlah mengapa ia juga disebut sebagai gereja besar oleh penganut-penganut agama Kristian. Tiket masuk ke masjid Cordoba ini pula berharga 8 euro

DSC_0571

Rekabentuk bahagian sisi luar masjid Cordoba

Pembinaan masjid Cordoba bermula pada tahun 784 Masihi dan diseliakan oleh Abd ar-Rahman I yang merupakan emir Cordoba pada ketika itu. Dikatakan naskhah al-Quran yang asli telah diletakkan di masjid ini semasa pemerintahan Abd ar-Rahman II. Pada sekitar kurun ke-9 pula,sebuah menara telah didirikan di masjid ini oleh Abd ar-Rahman III dan manakala Al-Hakam II telah bertanggungjawab dalam pembesaran masjid dan memperhaluskan rekaan setiap mihrab.

Peninggalan Islam di Andalusia - Menara Masjid Cordoba

Menara masjid Cordoba yang kini menjadi menara loceng gereja

Arkitek yang telah menyumbang kepada senibina masjid ini telah mereka bentuk arca berbentuk ladam kuda di atas arca yang lebih rendah. Senireka yang sangat indah apabila batu-bata dan batu marmar disusun secara berselang-seli membentuk belang merah putih yang melonjakkan lagi keindahan ruang sembahyang utama. Menurut sumber bertulis, terdapat lebih daripada 850 tiang yang diperbuat daripada marmar dan granit merah.

cordoba-1

Bahagian dalam Masjid Cordoba yang terkenal dengan rekaan puluhan arca (kredit foto : http://www.proyectoespana.com/viaggi-studio)

Struktur mihrab di masjid Cordoba ini mempunyai rekaan yang menakjubkan. Siling yang berbentuk cangkerang diukir dari sebongkah marmar dan ruang dikedua-dua bahagian mihrab dihiasi dengan mozek keemasan. Kaligrafi Islam yang sangat kemas dan halus juga jelas kelihatan pada arca, mihrab dan juga dinding

1.1289332789.the-mihrab-at-the-mezquita

Rekaan mihrab di Masjid Cordoba (kredit foto: http://arteazuer.blogspot.my/2011/12/la-arquitecture-calidal-cordobesa-la.html)

Peringkat akhir dalam pengubahsuaian masjid ini termasuklah pembinaan siar kaki di bahagian luar kompleks masjid dan juga pembinaan taman yang dikenali sebagai Patio de Los Naranjos di mana tempat berwudhu’ dikhaskan di sini. Taman dipenuhi dengan pokok oren dan juga kolam air pancut.. Pembinaan masjid Cordoba ini siap sepenuhnya pada tahun 987 Masihi semasa di bawah penelitian Al-Mansur Ibn Abi Amir. Masjid ini adalah masjid yang terindah berbanding ribuan masjid yang ada di Cordoba pada masa itu.

Sebenarnya, tapak binaan masjid Cordoba ini merupakan tapak suci bagi orang-orang Roman dan mereka telah mendirikan kuil Roman di tapak ini. Setelah kejatuhan Islam dan penaklukan semula Cordoba oleh Ferdinand III pada tahun 1236, masjid ini telah dijadikan gereja besar  dengan pelbagai pengubahsuaian dilakukan. Namun begitu, senireka Islam masih lagi dikekalkan oleh raja-raja Kristian.

Kini, masjid ini menjadi sebahagian daripada kota lama Cordoba yang telah digazetkan sebagai tapak warisan dunia UNESCO pada tahun 1984. Selain itu, jambatan Roman (Roman Bridgejuga telah dibina semula, diubahsuai dan diperkukuhkan pada zaman pemerintahan Islam. Jambatan ini dibina merentasi sungai Guadalquivir. Fungsi asal jambatan ini adalah sebagai laluan komersial dan juga ketenteraan. Jambatan ini juga yang menghubungkan Puerta del Puente, iaitu gerbang utama untuk memasuki kota lama Cordoba, dengan Calahorra Tower. 

DSC_0604

Jambatan Roman (Roman Bridge) yang menghubungkan Puerta del Puente dan Calahorra Tower

Puerta del Puenta - Peninggalan Islam di Andalusia

Puerta del Puente

Sememangnya peninggalan Islam di Andalusia memperlihatkan keagungan Islam di wilayah ini pada suatu ketika dulu dan mujurlah tinggalan-tinggalan ini masih dipelihara dengan baik. Sejarah di sebalik setiap peninggalan ini sememangnya amat menarik dan sangat bermanfaat untuk mereka yang amat meminati sejarah Islam.

 

Categories
Bahasa MelayuEurope
No Comment

Leave a Reply

*

*

Related Post

  • Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

    Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

    Liverpool, sebuah bandar di England yang pastinya menjadi impian setiap peminat pasukan bolasepak Liverpool untuk bertandang ke sini. Namun begitu, saya bukanlah seorang peminat bolasepak dan saya sendiri tidak...
  • Tarikan Dan Sejarah Welsh Di Cardiff

    Tarikan Dan Sejarah Welsh Di Cardiff

    Cardiff merupakan ibu negara Wales yang pada saya mempunyai suasana yang berbeza berbanding bandar-bandar lain di United Kingdom. Selain daripada tarikan yang ada di Cardiff, saya juga berpeluang mempelajari...
  • Mencari Damai di Pulau Mauritius

    Mencari Damai di Pulau Mauritius

    Penerbangan selama 7 jam dengan AirAsia X telah membawa kami ke Mauritius, sebuah pulau yang sangat indah dan menjadi destinasi impian kami sejak sekian lama. Tujuan utama kami adalah...
  • Itinerari 3 hari di kota London

    Itinerari 3 hari di kota London

    Ibukota London yang menjadi pusat pentadbiran utama England, telah menjadi destinasi pilihan utama bagi kebanyakan pelancong dari serata dunia. Pengalaman saya semasa berada di London pada pertengahan musim luruh...