Persembahan Musim Luruh di Glendalough dan Wicklow

Indah, itulah perkataan yang mampu saya ungkapkan semasa lawatan sehari ke Glendalough dan Wicklow yang terletak di daerah Wicklow, Ireland. Walaupun saya tidak mengharapkan cuaca cerah dan langit membiru selama berada di negara yang terkenal dengan kehijauan alam ini, namun persembahan musim luruh di Glendalough dan Wicklow cukup membuatkan hati saya menaruh harapan yang begitu tinggi untuk kembali ke Ireland.

 

 

dsc09906

Pemandangan sebaik sahaja menuruni bas pelawat.

Glendalough bermaksud ‘lembah yang mempunyai dua tasik’ dalam bahasa Ireland. Ia merupakan tapak penempatan Kristian monastik yang dibuka oleh Saint Kevin sekitar abad ke-6 dan menjadi tumpuan pelawat yang terkenal di Ireland. Kawasan ini pernah diserang oleh Viking dan Norman, dan kebanyakan monumen yang ada di sini pada hari ini merupakan struktur yang dibina sekitar abad ke-10 dan ke-12.

Glendalough terbahagi kepada dua bahagian iaitu kawasan lembah, dan kawasan tasik. Banyak monumen yang terdapat di lembah seperti Round Tower, The Cathedral, St. Kevin’s Kitchen, The Gateway, The Priest House, Trinity Church dan beberapa lagi monumen-monumen lain. Semua monumen ini terletak di kawasan perkuburan Kristian yang wujud sejak kawasan ini dibuka.

Apabila tiba di kawasan perkuburan Kristian, pelawat akan dapat melihat sebuah salib yang diperbuat daripada batu granit. Salib ini berfungsi sebagai cara untuk Saint Patrick memberi peringatan kepada bekas-bekas penganut agama pagan di Ireland, yang menyembah bulan dan matahari, agar dapat menyesuaikan diri dengan agama Kristian. Dikatakan juga jika seseorang dapat memeluk monumen ini sehingga hujung jari kedua-dua tangan bersentuhan, hajatnya akan termakbul.

dsc09911

Salib Saint Kevin di perkuburan Kristian Glendalough

Monumen lain yang juga popular di Glendalough ialah Round Tower, iaitu menara loceng yang berbentuk bulat, mempunyai ketinggian 33 meter. Menara ini dibina oleh paderi-paderi yang tinggal di biara Saint Kevin. Selain menempatkan loceng untuk memberi isyarat berlangsungnya upacara keagamaan, ia juga berfungsi sebagai menara tinjau dan lampu isyarat untuk para paderi dan penziarah.

dsc09922

Round Tower

Katedral St. Peter dan St. Paul merupakan salah sebuah daripda 7 gereja yang terdapat di Glendalough. Ia dibina secara berperingkat dari abad ke-10 sehinggalah abad ke-13 dan juga diperbuat dari mika.

 

dsc09923

Katedral St. Peter dan St. Paul di lembah bawah Glendalough

Sebuah lagi monumen, iaitu St. Kevin’s Kitchen, atau dapur St. Kevin, sebenarnya bukanlah berfungsi sebagai dapur tetapi ramai yang menyangkakan menara loceng di monumen ini adalah cerobong asap dapur, tetapi tidak pernah pula ada makanan dimasak di sini. Ia merupakan sebuah lagi gereja, selain katedral St. Peter dan St. Paul, tetapi bersaiz lebih kecil. Monumen – monumen yang ada di sekitar  Glendalough memberikan pemandangan yang unik, dengan berlatarbelakangkan pohon-pohon dan dedaun yang sedang berubah warna. Ini menjadikan persembahan musim luruh di Glendalough dan Wicklow menyegarkan setiap mata yang memandang.

dsc09925

Dapur St Kevin atau sebenarnya gereja St. Kevin

dsc09929

Gereja yang dipercayai kebanyakan orang sebagai dapur disebabkan menara loceng yang disangkakan cerobong asap dapur

Selain daripada monumen-monumen yang ada di sini, saya sangat teruja untuk melihat persembahan musim luruh di Glendalough dan Wicklow yang berwarna-warni. Saya meneruskan berjalan kaki berseorangan menuju ke tasik Glendalough. Di sepanjang trek menuju ke tasik, saya tidak putus-putus mengambil gambar dengan harapan untuk mendapatkan gambar yang menarik. Berselfie berlatarbelakangkan lanskap yang begitu cantik juga adalah satu kemestian, walaupun saya tidaklah begitu minat berselfie. Tasik Glendalough bukanlah tasik semulajadi tapi sebaliknya terbentuk hasil daripada perlombongan plumbum suatu ketika dahulu.

 

dsc09951-copy

Tasik Glendalough

Hanya gambar-gambar sahajalah yang boleh saya kongsikan betapa mengagumkan persembahan musim luruh di Glendalough dan Wicklow. Di sekeliling tasik Glendalough, banyak pokok seperti pain dan oak. Suatu ketika dahulu, pokok oak ditebang untuk penghasilan kayu-kayan, arang kayu dan juga kulit kayu.

dsc09964

Pemandangan sekitar tasik Glendalough

DSC09963 copy

Beberapa spesis lumut dan paku-pakis juga banyak terdapat di sekitar tasik ini. Menariknya, lumut yang berwarna hijau nampaknya hidup subur di batang-batang pokok, menjadikan pemandangan lebih menarik, dan adakalanya menyeramkan.

DSC09988 copy

Lumut yang hidup di batang-batang pokok, memberikan suasana yang sedikit berbeza

Terdapat juga sungai yang mengalir berhampiran dengan pusat informasi Glendalough. Teringin juga rasanya untuk merendamkan kaki di dalam air yang pastinya sejuk tetapi atas faktor masa, saya tidak berpeluang untuk berbuat demikian.

Sebelum kembali ke bas pelawat, saya singgah sebentar di sebuah gerai kecil yang menjual pelbagai cenderahati untuk para pelawat. Semestinya saya hanya akan mendapatkan magnet dan juga poskad sebagai kenangan. Terdapat kafe kecil di kawasan parkir utama sekiranya ada pelawat yang ingin membeli minuman atau makanan ringan sebagai alas perut.

DSC09994 copy

Setelah menghabiskan masa kira-kira 2 jam di Glendalough, saya menuju ke Wicklow Gap yang terletak tidak jauh dari tasik Glendalough. Perjalanan sepanjang Wicklow Gap juga begitu mengasyikkan dan ia menghubungkan pergunungan Wicklow dari timur ke barat. Selain menjadi penghubung sistem jalanraya yang penting, is juga menjadi tapak perfileman popular barat seperti Braveheart PS I Love You dan Reign of Fire.  Selain popular sebagai lokasi perfileman, jalanraya di sini juga menjadi antara  laluan pergunungan bertar tertinggi di Ireland.

DSC00018 copy

DSC00008 copy

DSC00005 copy

Sayangnya cuaca pada ketika ini kurang baik kerana hujan mulai turun dengan lebat dan langit menjadi lebih kelabu. Barangkali pemandangan yang sangat mengagumkan dapat dilihat di sini jika cuaca cerah dengan langit yang membiru. Namun begitu, saya masih lagi dapat melihat warna-warni di Wicklow Gap. Perjalanan hari ini diteruskan menuju ke pekan Kilkenny, yang akan saya ceritakan pada artikel yang akan datang.

 

 

Categories
Bahasa MelayuEuropeThings To Do
No Comment

Leave a Reply

*

*


Related Post

  • Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

    Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

    Liverpool, sebuah bandar di England yang pastinya menjadi impian setiap peminat pasukan bolasepak Liverpool untuk bertandang ke sini. Namun begitu, saya bukanlah seorang peminat bolasepak dan saya sendiri tidak...
  • Tarikan Dan Sejarah Welsh Di Cardiff

    Tarikan Dan Sejarah Welsh Di Cardiff

    Cardiff merupakan ibu negara Wales yang pada saya mempunyai suasana yang berbeza berbanding bandar-bandar lain di United Kingdom. Selain daripada tarikan yang ada di Cardiff, saya juga berpeluang mempelajari...
  • Mencari Damai di Pulau Mauritius

    Mencari Damai di Pulau Mauritius

    Penerbangan selama 7 jam dengan AirAsia X telah membawa kami ke Mauritius, sebuah pulau yang sangat indah dan menjadi destinasi impian kami sejak sekian lama. Tujuan utama kami adalah...
  • Itinerari 3 hari di kota London

    Itinerari 3 hari di kota London

    Ibukota London yang menjadi pusat pentadbiran utama England, telah menjadi destinasi pilihan utama bagi kebanyakan pelancong dari serata dunia. Pengalaman saya semasa berada di London pada pertengahan musim luruh...