Tarikan dan Cabaran Buat Penyelam Skuba

Tarikan dan Cabaran Buat Penyelam Skuba

Perkataan ‘lintah’ bukanlah sesuatu yang enak didengari bagi kebanyakan individu,, lebih-lebih lagi pada mereka yang fobia dengan spesis penghisap darah ini. Namun begitu, bagi kebanyakan penyelam scuba, perkataan lintah bulan laut, atau dalam bahasa Inggerisnya, nudibranch atau sea slug, merupakan organisma yang mempunyai peminat tersendiri, terutamanya di kalangan penyelam skuba yang gemarkan makro-fotografi. Lintah bulan laut tergolong di dalam kumpulan moluska, (kumpulan haiwan yang bercangkerang yang hidup di dalam air atau kawasan yg lembab). Namun begitu, hampir semua lintah bulan laut tidak mempunyai cangkerang dan semuanya mempunyai badan lembut yang tidak bersegmen. Haiwan ini juga tergolong dalam kumpulan yang sama dengan jenis-jenis siput, sotong dan kupang. Apa yang membuatkan haiwan perayap ini digemari kebanyakan penyelam skuba? Dan apa pula tarikan dan cabaran buat penyelam skuba untuk bertemu organisma istimewa ini? Sebenarnya, lintah bulan laut merupakan organisma yang mempunyai warna, bentuk dan corak yang sangat menarik. Kepelbagaian variasi organisma ini merupakan faktor utama yang menjadi tarikan buat para penggemar makro-fotografi. Seringkali golongan ini menjadikan haiwan ini sebagai subjek  utama untuk mengasah skil fotografi dasar laut mereka. Melalui website www.nudipixel.net, para peminat lintah bulan laut boleh mengenal pasti jenis atau spesis haiwan ini

1937277_1180243478558_4436594_n

Risbecia tryoni yang ditemui di Lembeh, Sulawesi

Flabelina exoptata

Flabelina exoptata. Spesis yang mudah dijumpai di perairan Malaysia.

Noumea croucea

Noumea crocea. Spesis ini berukuran lebih kurang 2.5 cm panjang

Hypselodoris maculosa

Hypselodoris maculosa. Semestinya spesis yang paling diminati penulis kerana warna dan corak yang menarik

Setiap suatu tarikan pasti ada cabaran yang perlu ditempuhi penyelam skuba. Lintah bulan laut juga merupakan haiwan yang agak sukar ditemui ketika menyelam dan ini membuatkan setiap penyelam skuba akan mencuba sedaya-upaya untuk mencari lintah bulan laut ini. Ia biasanya ditemui di permukaan batu-batu besar, batu karang dan adakalanya ditemui sedang merayap di permukaan lantai laut. Menurut kajian yang telah dijalankan, lintah bulan laut boleh ditemui di kawasan perairan yang cetek sehinggalah ke kedalaman hampir 700 meter, walaupun para pengkaji lintah bulan laut telah menemui kewujudan lintah bulan laut di kedalaman hampir 2,500 meter (sumber dari Nudibranchs, Fishermen Scuba). Tarikan dan cabaran buat penyelam skuba yang ingin menemukan organisma ini pastinya berbeza-beza bergantung kepada jenis lintah bulan laut yang terdapat di lokasi selaman, dan juga bergantung kepada keadaan kawasan selam skuba.

Secara umumnya,kawasan terumbu karang tropika mempunyai taburan variasi lintah bulan laut yang lebih besar berbanding kawasan lain. Pergerakan haiwan ini agak perlahan dan adakalanya ia berada dalam keadaan statik, menandakan ia sedang mendapatkan nutrien dari permukaan organisma tersebut . Ini memudahkan penyelam mengambil gambar dan menghasilkan gambar yang sangat menarik. Namun begitu, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk mendapatkan gambar yang sempurna kerana para penyelam perlu berhadapan dengan beberapa keadaan yang mencabar. Sebagai contoh, penyelam skuba perlu memastikan diri mereka berada dalam posisi yang sesuai dan pada masa yang sama perlu memastikan keapungan yang neutral agar tidak merosakkan batuan karang di sekelilingnya atau mengganggu hidupan laut yang lain. Selain itu, arus yang kuat juga boleh menjadi cabaran kepada penyelam untuk mendapatkan gambar yang diinginkan. Penyelam juga terdedah kepada risiko berhadapan dengan haiwan-haiwan berbisa seperti ular laut, ikan depu, tapak sulaiman berduri dan sebagainya. Bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, adalah lebih baik aktiviti fotografi seperti ini tidak dilakukan bersendirian.

Tidak seperti lintah biasa, organisma yang dikatakan menjadi tarikan dan cabaran buat penyelam skuba ini terdiri daripada pelbagai warna dan corak yang sangat menarik. Terdapat lebih daripada seribu jenis spesis  lintah bulan laut. Di Malaysia, spesis-spesis yang mudah ditemui adalah seperti Flabelina exoptata, Chromodoris coi, Chromodoris annae, Jorunna funebris (lebih dikenali sebagai ‘Panda’), Chelidonura amoena dan banyak lagi. Berdasarkan maklumat yang telah diperolehi, terdapat lebih kira-kira 99 spesis lintah bulan laut yang ditemui di perairan Malaysia.

Tarikan dan Cabaran Buat Penyelam Skuba

Flabelina rubrolineata (Batu Penunjuk, Kijal, Terengganu

Tarikan dan Cabaran Buat Penyelam Skuba

Hypselodoris krakatoa (Batu Penunjuk, Kijal, Selangor)

Jorunna funebris

Jorunna funebris atau ‘Panda’ nudibranch (Pulau Perhentian, Terengganu)

Gymnodoris impudica

Gymnodoris impudica (Pulau Perhentian, Terengganu)

Chromodoris coi

Chromodoris coi (Pulau Aur, Johor)

Tidak ramai yang mengetahui bahawa lintah bulan ini bersifat hemafrodit, iaitu ia mempunyai kedua-dua organ pembiakan jantan dan betina pada setiap individu. Semasa proses mengawan berlaku, setiap individu akan memindahkan dan menerima sperma pada masa yang sama.  Kedua-dua individu akan menghasilkan telur-telur kecil dalam bentuk gulungan reben. Gulungan reben ini wujud dalam pelbagai warna dan saiz, bergantung kepada spesis haiwan tersebut. Kebiasaannya, lintah bulan laut akan bertelur pada permukaan organisma dan objek yang menjadi sumber makanan, ataupun di kawasan yang berhampiran dengan sumber makanannya.

Hypselodoris bullockii

Gumpalan telur lintah bulan yang berwarna kuning yang dihasilkan Hypselodoris bullockii.

Lintah Bulan Laut-Tarikan dan Cabaran Buat Penyelam Skuba_photo_from_flickr_by_Steve Gillespie

Gumpalan telur lintah bulan laut dalam bentuk gulungan reben.

Lintah bulan Laut - Tarikan dan Cabaran Buat Penyelam Skuba_photo_from_flickr_by_oceanic2007

Telur yang dihasilkan oleh Hexabranchus sanguineus

Berdasarkan pengalaman penulis dalam pencarian lintah bulan laut, perairan Indonesia mempunyai variasi spesis yang agak mengagumkan. Antara lokasi menyelam di Indonesia yang mempunyai taburan lintah bulan laut yang banyak seperti di Lembeh (Sulawesi), Pulau Menjangan (Bali), Raja Ampat dan Komodo(Flores). Setiap tarikan dan cabaran buat penyelam skuba dalam misi pencarian lintah bulan laut memberikan kepuasan yang tidak terkata dan sudah semestinya membuat setiap penyelam skuba tidak berasa jemu untuk memotret haiwan ini. Namun, perlu diingatkan kepada setiap penyelam supaya sentiasa mematuhi etika ketika menyelam agar tidak mengganggu kehidupan laut dan merosakkan terumbu karang yang semakin rapuh akibat perubahan cuaca dunia.

Categories
Bahasa MelayuMalaysiaScuba Diving in Malaysia
No Comment

Leave a Reply

*

*

Related Post