Tarikan Pelancong di Kota Sydney

Opera House and Harbor Bridge from Mrs. Macquarie's Point

Sydney sememangnya sebuah kota yang amat dikenali ramai kerana ia merupakan salah sebuah bandar utama di Australia, dan semestinya keunikan Sydney Opera House menjadikan bandaraya Sydney lebih popular berbanding bandar-bandar lain di Australia. Sydney terletak di wilayah New South Wales, Australia. Ada beberapa tempat yang menjadi tarikan pelancong di sekitar Sydney, yang harus dilawati oleh setiap pelawat. Untuk penduduk-penduduk di Asia Tenggara, menjejakkan kaki ke Sydney bukanlah lagi sesuatu yang mustahil kerana AirAsia X membuat penerbangan ke Sydney setiap hari dari beberapa bandar utama di Asia Tenggara, dan menawarkan tambang yang rendah jika ditempah pada masa-masa tertentu.

Sistem pengangkutan awam yang berintegrasi dan efisyen membolehkan setiap tarikan pelancong di Sydney dilawati oleh pelancong dan pengembara. Terdapat lebih daripada 100 tarikan pelancong di kota Sydney namun yang paling banyak dilawati terletak di sekitar pusat dagangan iaitu di tengah-tengah Sydney. Antara  tarikan pelancong di kota Sydney yang saya rasakan berbaloi untuk dilawati adalah seperti Sydney Opera House, Sydney Harbor Bridge, Royal Botanic Garden, Bondi Beach, Manly Island, Paddy’s Market dan Blue Mountain. 

Sydney Opera House

Struktur gah ini telah dibina sekitar tahun 1958 dan merupakan pusat seni persembahan terkemuka di Australia. Ia juga merupakan tapak warisan dunia UNESCO yang telah digazetkan pada Jun 2007. Ia tersenarai sebagai warisan dunia memandangkan senibinanya yang tersendiri dan tidak terdapat di mana-mana negara.

Untuk melihat Sydney Opera House dengan lebih dekat, pelawat boleh menaiki pelbagai jenis pengangkutan awam seperti bas, tren atau feri menuji ke Circular Quay. Dari sini, pelawat perlu berjalan kaki sekitar  5 – 7 minit. Tidak ada bayaran yang dikenakan untuk melawati kawasan luar dan bayaran masuk hanya dikenakan sekiranya ada persembahan-persembahan yang berlangsung di sini.

Bagi yang ingin melihat dan mengambil gambar Sydney Opera House secara menyeluruh, ada beberapa cara tempat yang sesuai  dan cara untuk mendapatkan gambar yang menarik. Contohnya, pelawat boleh mengambil gambar ketika menaiki feri untuk ke destinasi luar kota Sydney, seperti Manly Island atau Taronga Zoo, ataupun mengambil gambar ketika berjalan kaki di Sydney Harbor Bridge.

Sydney Opera House

Sydney Opera House yang juga merupakan tapak warisan dunia UNESCO

Sydney Opera House, Kirribilli

Pemandangan Sydney Opera House dari Sydney Harbor Bridge

Sydney Opera House

Pemandangan pada waktu malam

Sydney Harbour Bridge

Sydney Harbor Bridge pernah menjadi jambatan keluli bergerbang terbesar di dunia. Ia dibina pada tahun 1926 dan mengambil masa 8 tahun untuk disiapkan. Panjang jambatan ini ialah 1149 meter dan terletak 134 meter dari aras laut. Selain kenderaan-kenderaan seperti kereta, bas dan lori, jambatan ini juga membolehkan keretapi, basikal dan pejalan kaki melaluinya.

Jambatan ini terkenal kerana ia mewujudkan suasana yang dramatik, lebih-lebih lagi apabila digabungkan dengan Sydney Opera House, yang menjadi ikon utama bumi kangaru ini. Saya amat meminati pemandangan Sydney Harbor Bridge kerana cahaya lampur yang berwarna-warni dan pantulan cahaya-cahaya tersebut di permukaan air memberikan lansdkap yang sangat mengagumkan.

Bagi mereka yang mempunyai bajet yang tinggi, bolehlah mencuba pakej mendaki arca jambatan ini dan melihat Sydney Opera House dari atas jambatan ini. Harga pakej berharga sekitar AUD 158.

Sydney Harbor Bridge

Sydney Harbor Bridge yang dilihat dari Kirribilli

Sydney Harbor Bridge

Pemandangan Sydney Harbor Bridge yang penuh ceria pada waktu malam

Royal Botanic Garden

Berhampiran dengan Sydney Opera House, Royal Botanic Garden adalah salah satu tarikan yang terdapat di kota Sydney. Taman ini terbahagi kepada beberapa bahagian dan setiap bahagian mempamerkan tumbuh-tumbuhan  mengikut konsep atau tema tertentu. Bagi yang ingin berjalan-jalan dan menikmati pemandangan yang mempesonakan, taman ini amat sesuai sekali untuk dilawati. Tidak ada sebarang yuran kemasukan dikenakan dan pelawat boleh berjalan kaki dari Sydney Opera House atau Circular Quay untuk ke sini.

Royal Botanic Garden

Bunga-bungaan yang menyerikan lanskap di Rotal Botanic Garden

Mrs. Macquarie’s Chair merupakan sebuah struktur yang menyerupai bangku, diperbuat daripada batu pasir dan diukir oleh banduan, bersempena dengan nama isteri salah seorang gabenor New South Wales yang memerintah dari tahun 1810 hingga 1821. Dikatakan struktur tersebut diukir di batu asal yang menjadi tempat duduk Mrs. Elizabeth Macquarie, yang gemar sekali melihat kapal-kapal dari England berlabuh di pelabuhan Sydney dan menikmati pemandangan di sekitar kawasan ini.

Royal Botanic Garden

Mrs. Macquarie’s Chair

Di dalam kawasan taman ini juga, pelawat boleh berkunjung ke Government House Sydney  yang mula dibuka pada orang ramai sejak tahun 1996. Ia merupakan salah sebuah bangunan tertua di Australia dan berfungsi sebagai tempat kediaman gabenor wilayah New South Wales. Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk melawati bangunan ini tetapi pelawat diminta untuk menunjukkan dokumen pengenalan diri di pondok keselamatan.

Royal Botanic Garden

Government House

Royal Botanic Garden

Bangunan pencakar langit dilihat dari pinggir Royal Botanic Garden

Di taman ini juga, pengunjung boleh ke Mrs. Macquarie’s Point (laluan untuk ke Macquatie’s Chair) untuk mengambil gambar berlatar-berlakangkan Sydney Opera House dan Sydney Harbor Bridge secara serentak. Secara peribadi, saya amat meminati pemandangan ini kerana menggabungkan dua binaan yang menjadi ikon Sydney.

2 dalam 1, pemandangan Sydney Harbor Bridge dan Sydney Opera House dari Royal Botanic Garden

Bondi Beach

Antara pandai yang amat terkenal di Sydney ialah Bondi Beach, yang mempunyai sejarah yang menarik. Ia terletak 7 kilometer dari pusat bandar Sydney dan mempunyai pesisiran sepanjang 1 kilometer. Pemandangan di sekitar pantai ini juga amat menarik dan pelbagai aktiviti dilakukan di sini. Bagi mereka yang meminati sukan air seperi surfing, Bondi Beach menjanjikan kepuasan memandangakan ombak yang terbentuk di sini agak mencabar kemahiran surfing. 

Untuk ke Bondi Beach, pelawat boleh menaiki bas dari Circular Quay (AUD 3).

Bondi Beach

Apartment di pinggiran Bondi Beach

Bondi Beach

Ombak yang sesuai untuk aktiviti surfing

Manly Island

Bagi yang inginkan suasana yang berbeza dari kota Sydney, Manly Island merupakan destinasi yang menarik dan perlu dilawati. Untuk ke sini, pelawat perlu menaiki feri dari Circular Quay  yang mengambil masa kira-kira 30 minit. Manly Island mempunyai pantai yang amat menarik dan terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan seperti bersnorkeling, berkayak, berbasikal dan melawati tempat-tempat tarikan pengunjung seperti Barrenjoey Lighthouse, Narrabeen Lakes dan lain-lain lagi.

Manly Island

Pusat pelancong di Manly Island

Manly Beach

Pemandangan di pantai Manly

Manly Island

Kediaman dan hotel di Manly Island

Paddy’s Markets

Setiap pengunjung ke kota Sydney semestinya akan membawa pulang cenderamata untuk diberikan kepada rakan-rakan atau keluarga. Jadi, tempat yang perlu ditujui semestinya salah sebuah Paddy’s Market yang terletak berhampiran dengan stesen keretapi Flemington  atau di Town Hall/Central Station. Pengunjung boleh menaiki bas, kereta atau keretapi untuk sampai ke salah sebuah Paddy’s Market ini. Pelbagai barangan dijual di sini seperti makanan dan minuman, buah-buahan, pakaian, perhiasan diri dan juga cenderamata yang dijual pada harga yang lebih murah berbanding di tempat-tempat lain sekitar Sydney.

entrance-to-paddy-s-market

Pintu masuk ke Paddy’s market (Kredit Foto : Tripadvisor)

made-in-australia-kangaroos

(Kredit Foto : Richard Tulloch)

Paddy's Market

 

Blue Mountains

Selain Sydney Opera House, Blue Mountains merupakan sebuah lagi kawasan yang digazetkan sebagai tapak warisan dunia UNESCO, diiktiraf pada tahun 2000. Pengiktirafan sebagai tapak warisan dunia diberikan memandangkan kawasan Blue Mountain ini mempunyai kepelbagaian habitat dan komuniti tumbuhan. Pemandangan di sekitar kawasan Blue Mountain semestinya amat menyegarkan mata yang memandang, di samping udara yang bersih.

Tempat-tempat sekitar Blue Mountain yang harus dilawati termasuklah Katoomba, Echo Point dan beberapa kawasan air terjun seperti Katoomba Falls danWentworth Falls. Echo Point merupakan tempat tumpuan utama pelawat untuk melihat struktur batu pasir yang dikenali the The Three Sisters. 

Untuk ke Blue Mountains, pelawat hanya perlu menaiki keretapi dari Central Station menuju ke Katoomba, yang mengambil masa selama 2 jam. Dikatakan laluan keretapi ini merupakan rel keretapi yang tercuram di dunia. Untuk ke Echo Point pula, pelawat boleh mengambil bas (AUD 2.50) ataupun perkhidmatan Hop On Hop Off (HOHO)

Blue Mountain

Three Sister’s pada waktu matahri terbenam

Blue Mountain

The Three Sister’s

Blue Mountain

Katoomba Falls

Terdapat banyak lagi tarikan pelancong di kota Sydney. Bergantung pada minat setiap individu, kota Sydney semestinya menyediakan pelbagai tarikan yang memberikan kepuasan kepada setiap pelawat yang ingin memenuhi citarasa masing-masing.

Categories
AustraliaBahasa MelayuThings To Do
No Comment

Leave a Reply

*

*

Related Post

  • Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

    Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

    Liverpool, sebuah bandar di England yang pastinya menjadi impian setiap peminat pasukan bolasepak Liverpool untuk bertandang ke sini. Namun begitu, saya bukanlah seorang peminat bolasepak dan saya sendiri tidak...
  • Tarikan Dan Sejarah Welsh Di Cardiff

    Tarikan Dan Sejarah Welsh Di Cardiff

    Cardiff merupakan ibu negara Wales yang pada saya mempunyai suasana yang berbeza berbanding bandar-bandar lain di United Kingdom. Selain daripada tarikan yang ada di Cardiff, saya juga berpeluang mempelajari...
  • Mencari Damai di Pulau Mauritius

    Mencari Damai di Pulau Mauritius

    Penerbangan selama 7 jam dengan AirAsia X telah membawa kami ke Mauritius, sebuah pulau yang sangat indah dan menjadi destinasi impian kami sejak sekian lama. Tujuan utama kami adalah...
  • Itinerari 3 hari di kota London

    Itinerari 3 hari di kota London

    Ibukota London yang menjadi pusat pentadbiran utama England, telah menjadi destinasi pilihan utama bagi kebanyakan pelancong dari serata dunia. Pengalaman saya semasa berada di London pada pertengahan musim luruh...