Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

Liverpool, sebuah bandar di England yang pastinya menjadi impian setiap peminat pasukan bolasepak Liverpool untuk bertandang ke sini. Namun begitu, saya bukanlah seorang peminat bolasepak dan saya sendiri tidak begitu pasti mengapa saya memilih untuk melawat bandar ini. Tetapi setelah menghabiskan masa 2 hari di sini, barulah saya tahu bahawa Liverpool bukanlah hanya sekadar berkenaan bolasepak atau stadium Anfield. Mengetahui apa yang menarik di sekitar bandar Liverpool membuatkan saya ingin kembali ke sini.

Sebelum memulakan misi untuk melihat apa yang menarik di sekitar bandar Liverpool, saya singgah di rumah seorang sahabat yang terletak di Botanic Park Road, yang jaraknya dari tengah-tengah bandar hanya kurang 20 minit dengan berjalan kaki. Sahabat saya mempunyai tetamu warganegara Brazil, dan kami bertiga menghabiskan masa bersama di Liverpool. Sementara menunggu sahabat-sahabat saya bersiap, saya sempat berjalan-jalan di taman yang terletak berhadapan dengan kediaman sahabat saya Dengan udara yang begitu nyaman dan kehijauan padang rumput, terasa begitu lapang sekali minda ini.

Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

Pemandangan yang terdapat di Botani Park Road

Setibanya di bandar Liverpool bersama sahabat-sahabat saya, kami singgah di Liverpool Metropolitan Cathedral. Ia sebuah gereja yang lain daripada yang lain, dengan rekabentuk yang lebih moden. Ruang dalam gereja ini juga tidak kelihatan seperti di dalam gereja-gereja lain.

Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

Pandangan Luar Gereja Metropolitan Liverpool

Dalam perjalanan ke pusat bandar, mata saya menangkap sebuah bangunan berekabentuk Victoria dan berwarna merah bata. Saya sangkakan ia adalah gereja tetapi sebenarnya sebuah universiti, iaitu University of Liverpool. Begitu cantik sekali bangunan ini.

Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

University of Liverpool

Dengan bantuan sahabat saya, saya dapat melawat tarikan-tarikan utama di sekitar Liverpool. Antara tarikan yang menarik di sekitar bandar Liverpool termasuklah menara St. Johns Beacon. Menara ini juga menjadi stesen operasi penyiaran Radio City. Bayaran sebanyak GBP 5 dikenakan untuk melawat bahagian utama menara ini. Pada mulanya saya tidak pasti apa yang menarik di sini tetapi setelah tiba di ruang tinjau di atas, saya dapat melihat sebahagian besar pemandangan bandar Liverpool yang begitu menarik.

Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

Radio City Tower yang terletak di tengah-tengah bandar Liverpool

Di bahagian kanan ruang tinjau ini menara, saya dapat melihat bangunan-bangunan berekabentuk Victoria yang saya rasakan mungkin kawasan perumahan dan juga letaknya Water Tower. Kawasan ini nampak lebih hijau dengan adanya padang-padang rumput dan taman-taman.

Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

Kawasan perumahan yang mempunyai bangunan berekabentuk Victoria.

Antara pemandangan yang menarik untuk dilihat dari St. Johns Beacon ialah kawasan yang dipanggil William Brown Street yang menempatkan tarikan yang menarik seperti World Museum, Central Library, Walker Art Gallery, St. George’s Hall dan Lime Street Station. 

Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

Dari kiri ; World Museum, Central Library, Walker Art Gallery, The Sessions Building dan St. George’s Hall

 

Sesudah menikmati pemandangan panorama bandar Liverpool, saya dan sahabat-sahabat singgah di sebuah restoran, The Wok, yang menyajikan masakan Asia Tenggara, untuk makan tengahari.

Apabila perut sudah kenyang, kami bertiga berjalan kaki menuju ke Pier Head yang mempunyai beberapa tarikan seperti The Cunard Building, Royal Liver Building dan Port of Liverpool Building. Ketiga-tiga bangunan ini mempunyai fungsi yang sangat penting dalam pembangunan kawasan perdagangan maritim. Di sekitar kawasan ini juga terdapat banyak tempat tarikan pelancong seperti Liverpool Waterfront, Museum of Liverpool, International Slavery Museum,  dan lain-lain lagi.

Bagi peminat-peminat kumpulan muzik The Beatles, Liverpool merupakan bandar kelahiran kumpulan muzik yang popular. Terdapat ukiran patung tembaga setiap ahli kumpulan The Beatles yang berhadapan dengan bangunan Port of Liverpool Building. Memandangkan saya membesar dengan kebanyakan lagu-lagu The Beatles, saya berasa teruja berada di sini. Inilah antara monumen yang menarik di sekitar bandar Liverpool dan saya akui Liverpool sememangnya  sebuah bandar yang tidak membosankan.

Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

Port of Liverpool Building

DSC00297 copy

Ukiran patung tembaga setiap ahli kumpulan The Beatles yang terletak di hadapan Port of Liverpool Building

Sebenarnya, 6 kawasan di bandar Liverpool telah diwartakan sebagai sebahagian daripada tapak warisan dunia UNESCO yang diwartakan pada tahun 2004 dan dinamakan sebagai Liverpool – Maritime Mercantile City.  Kawasan-kawasan yang dimaksudkan ialah Stanley Dock, William Brown Street, Castle Street, Pier Head, Albert Dock dan Ropewalks. 

Kami menghabiskan kebanyakan masa di sekitar William Brown Street, Pier Head dan Albert Dock memandangkan ketiga-tiga kawasan ini mempunyai lebih banyak tarikan. Memandangkan kami telah pun melewati William Brown Street dan Pier Head, kami teruskan lawatan ke Albert Dock.

Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

Kawasan pelabuhan kapal-kapal dagang di Sungai Mersey

Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

Bangunan – bangunan yang menjadi sebahagian daripada operasi pelabuhan maritim

Albert Dock menempatkan pelbagai bangunan seperti stor, pejabat, bank dan rumah-rumah pedagang dan kemudahan-kemudahan yang menjadikan Liverpool sebagai pelabuhan komersial yang utama sekitar abad ke 18 hingga 20. Teknologi yang digunakan dalam pembangunan dan juga kepentingan pelabuhan ini dalam pembentukan empayar British menjadi kriteria dalam pewartaan muara sungai Mersey sebagai tapak warisan dunia UNESCO.

Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

Bagi peminat The Beatles pula, di kawasan Albert Dock juga terdapat sebuah muzium yang memaparkan sejarah kumpulan ini. Namun begitu, bayaran sekitar GBP 14 dikenakan untuk memasuki muzium ini.

Yang Menarik di Sekitar Bandar Liverpool

Terdapat beberapa kedai yang menjual cenderahati di sekitar Albert Dock. Kami singgah sebentar untuk membeli sedikit cenderahati sebentar menuju ke One Liverpool untuk makan malam. Sememangnya kunjungan saya ke Liverpool memberi pengalaman yang menarik dan sekiranya ada rezeki, pastinya saya akan kembali ke sini lagi.

Categories
Bahasa MelayuEuropeThings To Do
No Comment

Leave a Reply

*

*


Related Post

  • Tarikan Dan Sejarah Welsh Di Cardiff

    Tarikan Dan Sejarah Welsh Di Cardiff

    Cardiff merupakan ibu negara Wales yang pada saya mempunyai suasana yang berbeza berbanding bandar-bandar lain di United Kingdom. Selain daripada tarikan yang ada di Cardiff, saya juga berpeluang mempelajari...
  • Mencari Damai di Pulau Mauritius

    Mencari Damai di Pulau Mauritius

    Penerbangan selama 7 jam dengan AirAsia X telah membawa kami ke Mauritius, sebuah pulau yang sangat indah dan menjadi destinasi impian kami sejak sekian lama. Tujuan utama kami adalah...
  • Itinerari 3 hari di kota London

    Itinerari 3 hari di kota London

    Ibukota London yang menjadi pusat pentadbiran utama England, telah menjadi destinasi pilihan utama bagi kebanyakan pelancong dari serata dunia. Pengalaman saya semasa berada di London pada pertengahan musim luruh...
  • Aktiviti - Aktiviti Menarik di Western Australia

    Aktiviti – Aktiviti Menarik di Western Australia

    Perancangan untuk menjejakkan kaki ke benua Australasia buat kali pertama membawa saya ke wilayah barat negara Australia iaitu Western Australia. Memandangkan wilayah ini amat besar dan tidak termampu untuk...